ASEAN Mesti Selaras Peraturan Untuk Kekal Daya Saing Yang Mampan -- Setiausaha Agung ASEAN
KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- ASEAN mesti menyelaraskan peraturan, mempercepatkan pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) serta menyelaraskan piawaian digital dan kemampanan bagi memaksimumkan potensi Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) untuk menjamin daya saing yang mampan.
Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn berkata rantau itu telah menunjukkan kemajuan yang ketara, dengan ATIGA yang telah dinaik taraf berjaya menolak tarif kepada sifar, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) menghubungkan ASEAN dengan hampir 30 peratus daripada pertumbuhan ekonomi global, dan DEFA dijangka menawarkan peluang ekonomi digital bernilai US$2 trilion menjelang 2030.
Beliau berkata perkembangan itu menimbulkan persoalan sama ada ASEAN bergerak cukup pantas untuk terus mendahului.
“Keadaan itu memberi gambaran yang menggalakkan. Indeks Inovasi Global (GII) yang diterbitkan oleh Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) meletakkan negara anggota ASEAN antara 60 inovator terbaik dunia, dengan Vietnam dan Indonesia mengatasi jangkaan.
“Sementara, Singapura menduduki tempat kedua di peringkat global dalam Kedudukan Daya Saing IMD, dan Malaysia naik 11 anak tangga ke tempat ke-23, pencapaian tertingginya sejak 2020,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Cyberjaya Conversations di sini hari ini.
Kao berkata dengan ASEAN berada di landasan yang tepat untuk menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030, rantau itu mesti memastikan pertumbuhan berdaya tahan, hijau dan didorong oleh inovasi, termasuk meningkatkan pelaburan penyelidikan dan pembangunan, mengukuhkan kewangan hijau, menyokong daya tahan iklim dan melabur dalam bakat sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
“Berpandukan Pelan Strategik AEC dan Pelan Tindakan ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (APASTI) 2026-2035, ASEAN telah memiliki peralatan untuk bertindak,” katanya, sambil menambah bahawa daya saing serantau selepas 2025 mesti dibina secara kolektif.
Beliau berkata di bawah Kepengerusian Malaysia, ASEAN bukan sahaja menetapkan sasaran bagi pengembangan ekonomi tetapi juga merangka hala tuju selama 20 tahun menerusi Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
“Visi itu mencerminkan perubahan yang ketara, daya saing masa depan kita bukan sahaja ditentukan oleh pertumbuhan, tetapi juga menerusi komuniti yang berdaya tahan, inovatif, dinamik dan kukuh berpusatkan rakyatnya,” tambahnya.
Sidang Kemuncak Cyberjaya Conversation 2025 selama sehari itu dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia.
Ia dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
-- BERNAMA
