Projek Pembangunan Dilaksana Ikut Keperluan Sebenar Rakyat - TPM Fadillah

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof ketika berucap pada sesi forum Kerajaan MADANI Retrospektif dan Memeta Perjalanan ke Hadapan sempena Majlis Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin Perbadanan Putrajaya hari ini.
07/12/2025 12:50 PM

PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Projek pembangunan di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, dilaksanakan mengikut keperluan sebenar bagi memastikan manfaatnya dirasai oleh rakyat secara menyeluruh, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah berkata pelaksanaan projek di bawah Kerajaan MADANI tidak berasaskan pertimbangan politik, sebaliknya mengutamakan keperluan rakyat sekali gus memastikan golongan sasar mendapat manfaat. 

“Ini sebenarnya memang berdasarkan keperluan sama ada wilayah atau pun negeri dan siapa yang perlu kita sasarkan.

“Sebab itu, siapa yang ada tanggapan mengatakan kita mendekati berasaskan politik itu adalah tidak benar sama sekali,” katanya sebagai ahli panel pada forum bertajuk “Kerajaan MADANI – Retrospektif dan Memeta Perjalanan ke Hadapan” di sini hari ini.

Forum tersebut merupakan antara pengisian Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang diadakan sempena Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku, yang turut menampilkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai ahli panel.

Program Rancakkan MADANI yang berlangsung di Dataran Putrajaya selama tiga hari bermula Jumaat, dianjurkan Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU).

Mengambil kira keperluan rakyat, Fadillah berkata kerajaan turut melaksanakan subsidi bersasar termasuk pengapungan subsidi ayam dan telur, penstrukturan tarif elektrik, serta penyasaran diesel dan petrol RON95, yang berjaya menjimatkan kira-kira RM15.5 bilion setahun.

Beliau berkata penjimatan daripada subsidi tersebut digunakan untuk menyediakan bantuan tunai kepada rakyat, meningkatkan sektor pendidikan dan kesihatan serta membangunkan prasarana awam sekali gus memastikan rakyat merasai manfaat secara langsung daripada pencapaian kerajaan.

“Jadi, inilah yang Ahmad Zahid kata tadi pendekatan sekarang ini reformasi, dengan transformasi atau reformasi yang kita laksanakan inilah maka kita dapat pulihkan ekonomi negara,” katanya.

Mengulas hala tuju masa depan negara, Fadillah berkata antara fokus utama kerajaan ialah memacu era digital, khususnya menerusi pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.

Beliau berkata pelaburan yang diluluskan dalam sektor itu pada 2024 sahaja mencecah RM378.5 bilion dan berpotensi mewujudkan 207,241 peluang pekerjaan baharu sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negara dan peningkatan pendapatan rakyat.

“Dengan teknologi baharu ini, kita nak pastikan negara kita akan dapat bersaing dalam kedudukan yang mencabar di peringkat dunia sekarang ini selain meletakkan kita pada landasan yang betul,” katanya.

Mengulas tumpuan kerajaan bagi tempoh seterusnya, Fadillah berkata fokus mulai 2026 ialah melakar semula pembangunan negara menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Beliau berkata RMK13 akan memberi penekanan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai, kemapanan dan inklusiviti, selain pelaksanaan reformasi menyeluruh yang digerakkan melalui kerjasama erat antara penjawat awam dan masyarakat.

Fadillah menegaskan dasar dan perancangan yang baik perlu diterjemahkan secara bersama agar sasaran untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, ekonomi mampan dan rakyat hidup sejahtera dapat dicapai, selaras dengan semangat Kerajaan MADANI.

Menyentuh kejayaan Malaysia di peringkat serantau, Fadillah berkata negara membuktikan keupayaannya dalam bidang diplomasi menerusi peranan pada penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada Oktober lepas, termasuk dalam merancang dasar serta membawa masuk penyertaan negara ASEAN dan luar ke Malaysia.

“Pencapaian ini sekali gus memartabatkan imej negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA