19 Perkara Di Bawah MA63 Dipersetujui Setakat Ini - Fadillah

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof ketika berucap pada sesi forum Kerajaan MADANI Retrospektif dan Memeta Perjalanan ke Hadapan sempena Majlis Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin Perbadanan Putrajaya hari ini.
07/12/2025 03:17 PM

PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Sebanyak 19 perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah dipersetujui setakat ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 berkata ia termasuk penyerahan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada kerajaan negeri menerusi Majlis Tenaga Sabah. 

“Walaupun diserah kuasa, namun kerajaan Persekutuan masih membantu dan menyokong negeri Sabah dengan peruntukan RM3.54 bilion (bagi subsidi elektrik) sehingga 2030,” katanya pada sesi dialog awam sempena majlis penutup Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku, di sini hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun beliau menjelaskan beberapa perkara masih belum diselesaikan kerana melibatkan perbezaan tafsiran undang-undang, termasuk aspek perlembagaan dan undang-undang negeri yang memerlukan penelitian mendalam.

“Sebab ia adalah persoalan perundangan, pandangan di peringkat negeri mungkin berbeza dengan pandangan perundangan di peringkat Persekutuan. Jadi perkara ini bukan mudah untuk kita selesaikan..inilah beberapa perkara lagi yang belum dapat kita selesaikan tapi kebanyakan perkara sudah pun dapat diselesaikan,” katanya.

MA63 merupakan pemeteraian dokumen menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah (Borneo Utara), Sarawak dan Singapura menjadi negara Malaysia.

Sementara itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Malaysia menjadikan pembangunan Grid Tenaga ASEAN (APG) sebagai antara tumpuan utama ketika mempengerusikan ASEAN, iaitu usaha mengukuhkan kerjasama tenaga dan memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil, mampan dan berdaya saing di seluruh rantau ini.

Beliau berkata inisiatif itu penting bagi mewujudkan rangkaian grid serantau yang membolehkan negara-negara ASEAN menjalankan pertukaran tenaga rentas sempadan, sekali gus membantu negara yang mengalami kekurangan bekalan pada sesuatu masa.

“Apabila Thailand kekurangan bekalan (tenaga), negara lain boleh membekalkan. Sistem ini memberi fleksibiliti dan meningkatkan keselamatan tenaga di peringkat rantau,” katanya.

Menurutnya, percubaan awal bagi projek itu kini telah berjalan melalui penyambungan grid melibatkan Projek Integrasi Tenaga (PIP) Laos–Thailand–Malaysia–Singapura (LTMS) yang menjadi asas kepada integrasi tenaga ASEAN pada masa hadapan.

Beliau berkata langkah seterusnya adalah menghubungkan Pulau Borneo yang mempunyai potensi terbesar tenaga boleh baharu di rantau ini melalui kabel dasar laut ke Semenanjung Malaysia dan seterusnya ke Singapura.

Katanya langkah selepas itu adalah menghubungkan tenaga boleh baharu di Pulau Borneo ke Filipina.

Program Rancakkan MADANI selama tiga hari bermula Jumaat lepas menampilkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga dan pelbagai tawaran istimewa kepada orang ramai.

Program Rancakkan MADANI merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI yang menjadi tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara langsung kepada rakyat.

-- BERNAMA