Kepengerusian Malaysia Dalam ASEAN Perkukuh Libat Urus Serantau, Perdalam Hubungan Dengan Rusia -- Duta

Duta Rusia ke Malaysia Naiyl Latypov
10/12/2025 06:31 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN bukan sahaja meningkatkan peranan serantau blok itu, malah memperkukuh libat urus dengan kuasa besar termasuk Rusia, kata Duta Rusia ke Malaysia Naiyl Latypov.

Beliau berkata tahun ini menyaksikan momentum diplomatik yang signifikan, bermula dengan dua lawatan kepimpinan Malaysia ke Rusia yang disifatkannya sebagai penting dalam menetapkan hala tuju kerjasama serantau yang lebih luas.

Pada Mei, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Moscow dan Kazan untuk mengadakan perbincangan dua hala dengan Presiden Vladimir Putin dan pemimpin kanan Rusia lain, sebelum menghadiri Forum Rusia-Dunia Islam: Kazan sebagai tetamu utama.

“Inilah kali pertama seorang Perdana Menteri Malaysia menjadi tetamu utama bagi Dialog Strategik Rusia-Dunia Islam,” katanya pada sidang media Rabu.

Lawatan itu kemudian disusuli dengan lawatan negara bersejarah  Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim,  ke Rusia, yang pertama bagi Ketua Negara Malaysia.

Latypov berkata rangkaian libat urus ini menyokong peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, dan menyumbang kepada pengukuhan rangka dialog antara ASEAN dan kuasa besar dunia.

Di bawah Kepengerusian Malaysia, ASEAN menerima pakai Visi Komuniti ASEAN 2045 dan memuktamadkan kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ke-11, yang menurut beliau mencerminkan keupayaan Malaysia mengemudi proses serantau yang kompleks.

“Di bawah kepimpinan Malaysia, ASEAN berjaya meningkatkan kewibawaannya sebagai sebuah organisasi. ASEAN kini memainkan peranan semakin besar dalam dasar dunia, khususnya di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Beliau berkata penyelarasan diplomatik Malaysia, termasuk sokongan terhadap delegasi Rusia yang menghadiri acara berkaitan ASEAN, membantu mengekalkan libat urus kukuh walaupun berdepan kekangan logistik.

Latypov berkata Rusia kekal komited terhadap Pemusatan ASEAN dan akan terus memperkukuh kerjasama dalam bidang keamanan, kestabilan dan keselamatan.

“Keadaan di rantau Asia Pasifik amat penting bagi kami. Oleh itu, kami menyokong peranan pusat ASEAN dan bersedia bekerjasama dengan Malaysia serta negara ASEAN lain,” katanya.

Rusia dan ASEAN kini sedang merangka Pelan Tindakan Komprehensif baharu bagi 2026–2030 berasaskan kerangka sedia ada yang berakhir tahun ini. Beliau berkata mekanisme seperti Majlis Perniagaan Rusia-ASEAN dan Dewan Perniagaan Rusia di Jakarta akan membantu merealisasikan potensi ekonomi yang semakin berkembang.

Latypov menegaskan bahawa kepimpinan Malaysia telah memperluas jaringan libat urus ASEAN melepasi rakan tradisi, sekali gus membuka ruang kepada padanan baharu dengan platform global sedang meningkat, termasuk BRICS dan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO).

“Peranan Malaysia tahun ini sangat penting. Kepimpinannya mengukuhkan keupayaan ASEAN untuk berlibat urus secara konstruktif dengan kuasa besar, termasuk Rusia, dan membentuk hala tuju strategik rantau ini,” katanya.

-- BERNAMA