Seoul Anggap Malaysia Sebagai Pintu Gerbang Strategik Ke ASEAN - Duta
KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Korea Selatan melihat Malaysia sebagai pintu gerbang strategik ke ASEAN, mencerminkan kepentingan Malaysia yang semakin meningkat dalam penglibatan serantau Seoul ketika Asia Tenggara terus muncul sebagai antara pusat utama pertumbuhan ekonomi global.
Duta Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung-bae berkata peranan utama Malaysia dalam ASEAN, ditambah dengan kedudukan strategiknya yang menghubungkan Lautan Hindi dan Pasifik, menjadikannya rakan semula jadi bagi usaha Korea untuk mendekati rantau Asia Tenggara yang lebih luas.
“Ketika ASEAN mengukuhkan kedudukannya sebagai satu daripada blok ekonomi utama dunia, Malaysia berfungsi sebagai titik kemasukan penting bagi Korea untuk memperdalam penglibatan dengan rantau ini secara tersusun dan mampan,” katanya dalam Letter from the Embassy yang diterbitkan oleh portal berita e-harian berpangkalan di Korea Selatan, baru-baru ini.
Beliau berkata kelebihan geografi Malaysia, kestabilan politik serta komitmen jangka panjang terhadap prinsip kepusatan ASEAN mengukuhkan kedudukannya sebagai hab perdagangan, pelaburan dan keterhubungan serantau.
Yeo berkata minat Korea yang semakin meningkat terhadap Malaysia juga mencerminkan peralihan global yang lebih luas, apabila negara dan syarikat berusaha mempelbagaikan rantaian bekalan berikutan ketidaktentuan geopolitik, trend perlindungan perdagangan dan persaingan yang semakin sengit dalam kalangan kuasa besar.
“Populasi muda ASEAN, pasaran pengguna yang berkembang dan sumber yang melimpah menawarkan peluang besar dan Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menghubungkan perniagaan serta industri Korea dengan kekuatan serantau ini,” katanya.
Selain pertimbangan ekonomi, beliau turut menekankan diplomasi Malaysia yang aktif dan seimbang sebagai faktor utama yang meningkatkan daya tarikannya sebagai rakan strategik. Keupayaan Malaysia mengekalkan hubungan konstruktif dengan semua kuasa besar, katanya mengukuhkan kredibilitinya sebagai pemudah cara dan penyelaras serantau.
Yeo berkata pengukuhan kerjasama dua hala, termasuk kemajuan dalam perjanjian perdagangan dan kerjasama sektor khusus, sejajar dengan strategi lebih luas Korea untuk menambat kehadirannya di Asia Tenggara melalui rakan yang dipercayai dan boleh diharapkan.
Ketika kepentingan ekonomi dan strategik ASEAN terus meningkat, katanya penekanan Korea terhadap Malaysia menzahirkan kepercayaan yang penglibatan berkesan dengan rantau ini paling baik dilaksanakan melalui negara yang menggabungkan keterhubungan, kestabilan dan kematangan diplomatik.
Bagi Malaysia, diiktiraf sebagai pintu gerbang ke ASEAN mencerminkan aspirasinya untuk melaksanakan peranan serantau yang proaktif, memanfaatkan kedudukannya bagi menarik pelaburan, memperluas perkongsian serta menyumbang kepada kemakmuran dan kestabilan serantau jangka panjang.
--BERNAMA

