Keserasian Sistem Imbas Kod QR Suntik Momentum Kepada Dagangan China, ASEAN

Gambar kredit CMG
02/01/2026 05:08 PM

BEIJING, 2 Jan (Bernama-CMG) -- Keserasian sistem imbasan kod respons pantas (QR) merupakan antara hasil kerjasama terpenting yang dicapai China dan ASEAN dalam bidang pengurusan transaksi pembayaran.

Ketua Cawangan Bank China di Jakarta Sun Shangbin berkata sistem pembayaran melalui kod QR bukan sahaja memudahkan pergerakan rakyat, tetapi juga merancakkan kegiatan perdagangan antara China dengan negara ASEAN.

Kini, cara pembayaran melalui kod QR yang diserasikan digunakan secara meluas di Indonesia, Malaysia, Kemboja, Vietnam dan negara ASEAN lain.

Ia bukan sahaja membantu pengembara mengurus perbelanjaan rentas sempadan dengan lebih mudah, malah menyuntik momentum baharu ke dalam kerjasama ekonomi dan perdagangan serantau.

Sun menjelaskan bahawa ketersambungan pembayaran QR antara China dan ASEAN banyak memudahkan rakyat kedua-dua pihak membuat pembayaran ketika membeli-belah, melancong atau belajar di luar negara.

Seiring dengan penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) versi 3.0, tahap integrasi antara China dengan negara ASEAN semakin meningkat.

Untuk rekod, China mengekalkan kedudukan sebagai rakan dagang terbesar ASEAN selama 16 tahun berturut-turut, manakala ASEAN menjadi rakan dagang terbesar China selama lima tahun berturut-turut.

– BERNAMA-CMG