Filipina Mulakan Perbincangan Diplomatik Dengan Kepimpinan Myanmar
Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 7 Jan (Bernama) -- Filipina selaku Pengerusi ASEAN yang baharu telah memulakan penglibatan diplomatik dengan kepimpinan tertinggi Myanmar bagi menggalakkan kestabilan politik di negara itu.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina yang juga Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar yang baru dilantik, Ma. Theresa P. Lazaro, mengadakan perbincangan dengan kepimpinan Myanmar berhubung isu diplomatik serantau dan dua hala pada Selasa.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Filipina akan terus membina dan memperkukuh usaha Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar sebelum ini dalam memajukan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC),” kata Lazaro di Nay Pyi Taw pada Selasa.
Kenyataan beliau disiarkan di laman sesawang Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina pada Rabu.
Lazaro turut mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan dan Keamanan Negara Myanmar, Min Aung Hlaing.
5PC ASEAN antara lain menyeru penghentian segera keganasan; penglibatan dalam dialog membina dengan semua pihak; pelantikan utusan khas Pengerusi ASEAN untuk memudah cara pengantaraan proses dialog; penyediaan bantuan kemanusiaan oleh ASEAN serta lawatan Utusan Khas dan delegasi ke Myanmar bagi bertemu semua pihak yang terlibat.
Media kerajaan Myanmar, The Global New Light of Myanmar, pada Rabu menyiarkan laporan muka hadapan yang menekankan hasrat kedua-dua negara Asia Tenggara itu untuk terlibat dengan kumpulan 11 negara anggota berkenaan bagi memperkukuh diplomasi serantau.
“Kedua-dua pihak membincangkan usaha Myanmar untuk mengoptimumkan kerjasama dalam ASEAN serta hubungan diplomatik yang baik antara Myanmar dan Filipina,” menurut media kerajaan itu.
Myanmar telah mengadakan fasa pertama pilihan raya umumnya pada 28 Dis lalu selepas hampir lima tahun. Fasa kedua dijadualkan berlangsung pada 11 Jan ini, manakala fasa akhir pada 25 Jan.
Sebelum lawatan ke Myanmar, Lazaro berada di Bangkok, Thailand pada 5 Jan bagi bertemu Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow untuk memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
“Mereka turut terlibat dalam perbincangan terbuka mengenai beberapa isu kritikal serantau dan antarabangsa, termasuk situasi di Myanmar, keadaan di sempadan Thailand-Kemboja serta perkembangan geopolitik lain,” menurut Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina.
-- BERNAMA
