Lapan Fokus Utama Kementerian Pertahanan 2026 Perkukuh Kesiapsiagaan Negara
KUALA LUMPUR 12 Jan (Bernama) -- Kementerian Pertahanan menggariskan lapan fokus utama bagi memperkukuh kesiapsiagaan, tadbir urus serta keupayaan pertahanan negara sepanjang 2026, selaras dengan keperluan keselamatan semasa dan cabaran geopolitik yang semakin kompleks.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tumpuan itu merangkumi kesinambungan peranan Malaysia di peringkat ASEAN, pengurusan ancaman di Laut China Selatan, pembangunan industri pertahanan tempatan, pemodenan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pemerkasaan pertahanan menyeluruh, kebajikan anggota dan veteran, serta pelancaran pelan strategik baharu kementerian.
“Fokus pertama, Kementerian akan memastikan kesinambungan segala pencapaian dan usaha yang diperkenalkan semasa kepengerusian ASEAN tahun lalu,” katanya pada Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2026 di Wisma Perwira di sini hari ini.
Fokus kedua melibatkan pengurusan ancaman di Laut China Selatan, yang masih sarat ketidaktentuan dan potensi konflik, termasuk penggunaan taktik “Grey Zone” yang boleh menjejaskan kedaulatan negara.
Bagi fokus ketiga, Mohamed Khaled berkata kementerian akan menumpukan pembangunan industri pertahanan tempatan melalui pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.
Beliau berkata fokus keempat pula adalah usaha berterusan memodenkan dan memperkasa aset ATM, termasuk penerimaan aset baharu termasuk empat unit pesawat Fighter Lead-In Trainer - Light Combat Aircraft (FLIT-LCA); tiga unit Medium Altitude Long Endurance-Unmanned Aerial System (MALE-UAS) dan lima bot Fast Interceptor Craft (FIC).
“Pada tahun ini juga, kita akan mula melaksanakan perolehan aset-aset strategik baharu. Antaranya adalah Perolehan sistem Very Short Range Air Defence (VSHORAD); Perolehan sistem Short Range Air Defence (SHORAD); Perolehan Multi Role Support Ship (MRSS); dan Perolehan Medium Range Air Defence (MERAD),” katanya.
Mohamed Khaled menekankan pemerkasaan kebajikan anggota dan veteran ATM, termasuk penyaluran peruntukan terus serta peluang latihan dan kerjaya kedua.
Beliau berkata kementerian juga akan melancarkan Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) bagi memastikan transformasi pertahanan lebih berfokus dan berkesan.
Belanjawan 2026 memperuntukkan RM21.74 bilion kepada Kementerian Pertahanan, meningkat 2.92 peratus berbanding 2025, dengan RM6 bilion khusus untuk perolehan aset dan kelengkapan ATM.
Selain itu, kementerian akan melaksanakan kerangka Environment, Social and Governance (ESG) untuk mempertingkat tadbir urus, dengan penubuhan pasukan petugas khas bagi membangunkan sistem ESG sesuai keperluan pertahanan negara.
-- BERNAMA
