Produk Herba Farmer terima Pengiktirafan ASEAN Records Untuk Jualan Tertinggi
KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Herbal Farmer, jenama runcit perubatan tradisional Cina (TCM) menerima pengiktirafan ASEAN Records untuk jualan tertinggi kategori minuman avokado multibijirin.
Ketua Pegawai Eksekutif Herbal Farmer Teo Chin Hong berkata sebanyak 249,354 unit pek seberat 500 gram terjual dari 2019 hingga 2025, bersamaan dengan 4,155,900 uncang.
“Pengiktirafan oleh ASEAN Records itu bukti kepada usaha pasukan kami serta pilihan utama para pelanggan.
“Kami percaya pengiktirafan itu pasti akan memperkukuh imej jenama kami dari segi kualiti dan kuantiti,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian sijil oleh Pengarah Urusan ASEAN Records Eldrick Koh, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Samuel Lee Thai Hung.
Teo berkata sejak penubuhannya, Herbal Farmer komited untuk mengubah persepsi terhadap TCM, dengan beralih daripada amalan tradisional kepada pendekatan perubatan Cina dan produk berkonsep moden dalam pasaran.
Walaupun berdepan cabaran pasaran, beliau berkata syarikat itu kekal optimis terhadap prospek pertumbuhannya dan yakin dengan hala tujunya yang strategik.
Sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan, Herbal Farmer akan memperluas rangkaian kedai fizikalnya dengan pembukaan cawangan baharu di Sarawak serta Ipoh di Perak, sejajar dengan komitmen untuk meningkatkan kebolehcapaian dan mendekatkan produk kepada pengguna.
Bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina yang akan datang, Herbal Farmer turut melancarkan lebih 20 produk termasuk set hadiah khas.
“Kelaziman, masyarakat Cina akan membeli set hadiah untuk pelanggan, rakan dan keluarga. Oleh itu, pelancaran ini antara langkah penting yang diperkenalkan hari ini,” katanya.
Majlis berkenaan diserikan dengan persembahan tarian singa sebelum diteruskan dengan pelancaran produk dan upacara memotong riben, serta disusuli sesi kuiz yang menawarkan hadiah, selain cabutan bertuah.
-- BERNAMA
