Malaysia Anggap Keselamatan Maritim Kunci Kestabilan Rantau, Gesa Muktamadkan COC

Datuk Seri Amran Mohamed Zin
23/01/2026 11:24 PM

PUTRAJAYA, 23 Jan (Bernama) -- Malaysia mengiktiraf keselamatan maritim sebagai tonggak strategik bagi kestabilan serantau dan menekankan kepentingan memuktamadkan Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan tahun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata Malaysia menyokong usaha berterusan untuk mengekalkan keamanan, kestabilan dan kebebasan navigasi, serta memperkukuh kerjasama maritim dan langkah membina keyakinan antara Negara Anggota ASEAN.

“Laut China Selatan merupakan laluan penting untuk perdagangan ... Adalah penting bagi kita untuk bekerja keras dan memuktamadkan COC menjelang Julai 2026,” katanya pada taklimat media mengenai Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN di Cebu, Filipina, yang akan diadakan dari 28 hingga 29 Jan, pada Jumaat.

Malaysia, selaku penyelaras bersama China bagi Hubungan Dialog ASEAN-China, sedang menerajui rundingan COC dan menggesa agar ia dimuktamadkan.

Amran berkata kuasa luar juga mempunyai kepentingan di Laut China Selatan, terutamanya dalam aspek kebebasan pelayaran dan penerbangan ruang udara, sambil menambah bahawa ketegangan boleh berlaku jika keadaan tidak dikendalikan dengan berhati-hati dan teliti.

“Pendekatan konstruktif Malaysia dalam menguruskan isu ini diiktiraf bukan sahaja dalam kalangan ASEAN tetapi juga oleh China,” katanya.

Pada Khamis, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata rundingan COC telah menunjukkan kemajuan ketara, dengan hampir 70 peratus daripada kandungannya telah dipersetujui, namun rundingan teliti masih diperlukan bagi memastikan kedaulatan negara tidak terjejas.

Mohamad berkata COC bukanlah instrumen untuk menyelesaikan tuntutan bertindih, sebaliknya ia merupakan satu kerangka kerja bagi memastikan perairan tersebut kekal sebagai laluan perdagangan yang selamat, bebas dan aman untuk semua pihak.

Beliau berkata tuntutan bertindih perlu diselesaikan melalui rundingan dua hala atau pelbagai hala, manakala COC berfungsi untuk menetapkan prinsip tingkah laku dan langkah pembinaan keyakinan bagi mengelakkan ketegangan di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA