Malaysia Sokong Penuh Filipina Terajui ASEAN, Yakin Kesinambungan Pelaksanaan

30/01/2026 01:27 PM

Daripada Linda Khoo

CEBU (Filipina), 30 Jan (Bernama) -- Malaysia menyokong penuh Filipina sebagai Pengerusi ASEAN 2026 serta menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Manila untuk menerajui blok serantau itu dengan cemerlang.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yakin segala keberhasilan Malaysia sepanjang Kepengerusian ASEAN 2025 dapat diteruskan dan diterjemahkan secara menyeluruh melalui pelaksanaan yang berkesan pada tahun ini. 

Malaysia's Minister of Foreign Affairs Mohamad Hasan, Myanmar's Permanent Secretary of the Ministry of Foreign Affairs Hau Khan Sum, Thailand's Minister of Foreign Affairs Maris Sangiampongsa, East Timor's Foreign Minister Bendito dos Santos Freitas, Vietnam's Foreign Minister Le Hoai Trung, Philippines' Foreign Minister Theresa Lazaro, Singapore's Foreign Minister Vivian Balakrishnan, Brunei's Second Minister of Foreign Affairs Erywan Yusof, Cambodia's Deputy Prime Minister and Minister of Foreign Affairs and International Cooperation Prak Sokhonn, Indonesia's Foreign Minister Sugiono, Laos' Foreign Minister Thongsavanh Phomvihane, and ASEAN Secretary-General Kao Kim Hourn pose for a group photo during the Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) Foreign Ministers' Retreat in Cebu City, Philippines, January 29, 2026. JAM STA ROSA/Pool via REUTERS

 Beliau berkata Filipina sebagai Pengerusi ASEAN dengan bertemakan “Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama” telah mengenalpasti 88 keberhasilan merentasi ketiga-tiga tonggak ASEAN iaitu keselamatan dan politik, ekonomi dan sosiobudaya.

“Pada tahun ini, Malaysia berharap ASEAN akan memulakan pelaksanaan ASEAN 2045: Masa Depan Bersama.

“Malaysia juga berharap ASEAN akan menterjemahkan aspirasi negara anggota ASEAN kepada inisiatif dan aktiviti yang akan menyumbang kepada pembangunan komuniti ASEAN secara mampan dan terangkum,” katanya kepada Bernama.

Menteri Luar Negeri Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, menghadiri Mesyuarat Pemukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) di Cebu, Filipina, 29 Januari 2026. Jacqueline Hernandez/POOL melalui REUTERS

Mohamad telah menghadiri Sesi Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) yang berakhir pada Khamis.

Mohamad juga merakamkan ucapan tahniah kepada Filipina atas Kepengerusian ASEAN tahun ini.

“Sebagai negara anggota ASEAN, kita memberikan sokongan penuh kepada Pengerusi ASEAN. Ini akan menjadi tradisi ASEAN agar Kepusatan ASEAN kekal dan berterusan,” katanya. 

Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Ma. Theresa P. Lazaro mempengerusikan Permukiman AMM. Ia merupakan mesyuarat utama pertama di bawah tonggak Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) semasa Kepengerusian ASEAN-Filipina 2026.

 Mohamad berkata Malaysia akan meneruskan usaha mengukuhkan perkembangan lestari dan keterangkuman untuk dimanfaatkan rakyat melalui agenda pendigitalan ASEAN, memperkukuh perdagangan intra-ASEAN serta meningkatkan sokongan ASEAN terhadap perusahaan kecil dan sederhana.

“Malaysia merasakan bahawa terdapat kesinambungan antara Kepengerusian ASEAN oleh Filipina dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 melalui keutamaan dan keberhasilan yang dikongsikan,” katanya.

Permukiman AMM juga membincangkan keutamaan dan keberhasilan di bawah Kepengerusian ASEAN-Filipina 2026, susulan kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, serta hasil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN berhubung situasi di Kemboja dan Thailand.

Menteri-menteri luar ASEAN turut membincangkan hubungan luar blok itu selain bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa.

Pada sesi permukiman itu, Mohamad juga menyatakan kebimbangan terhadap situasi di Myanmar susulan pilihan raya yang diadakan baru-baru ini.

Mengenai Laut China Selatan, beliau menyeru agar momentum dikekalkan ke arah memuktamadkan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang berkesan dan substantif pada Julai 2026.

Menyentuh isu Gaza, Mohamad mengecam operasi ketenteraan berterusan Israel serta pembunuhan orang awam di Palestin.

Selain menghadiri Permukiman AMM, Mohamad juga mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari Filipina, Vietnam, Kemboja dan Singapura.

Beliau berkata antara isu yang dibincangkan termasuk isu Laut China Selatan, situasi di Myanmar, konflik sempadan Thailand dan Kemboja, perdagangan dua hala, kerjasama dengan Rakan Dialog ASEAN.

“Melalui pertemuan-pertemuan ini, beliau berkata pelbagai isu dua hala dan serantau telah dibincangkan bagi mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dan negara-negara itu,” katanya.

-- BERNAMA