Samurai Paint Catat Rekod ASEAN, Asia Acara Semburan Aerosol Automotif Terbesar

Pengarah ASEAN Records Gillian Ooi (kiri) menyampaikan Sijil Pengiktirafan Rekod ASEAN kepada Eksekutif Kanan Pembangunan Perkhidmatan Samurai Paint Ahmad Faiz Roslani (tengah) dan Penolong Pengurus, Samurai Service and Academy, Nurul Fateha Zainal (dua, kanan) pada acara Asia's Biggest Automotive Aerosol Spraying Event -- 30 Cars in 3 Days Challenge anjuran Samurai Paint Malaysia di Sireh Park. SAMURAI Paint mencatat rekod Asia dan ASEAN selepas berjaya melaksanakan acara semburan aerosol automotif terbesar di rantau ini melibatkan 30 badan kereta dicat sepenuhnya menggunakan tin aerosol dalam satu cabaran. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
08/02/2026 11:15 PM

ISKANDAR PUTERI, 8 Feb (Bernama) -- Samurai Paint mencatat rekod ASEAN dan Asia selepas berjaya melengkapkan acara semburan aerosol automotif terbesar di rantau ini, dengan 30 badan kereta disembur cat menggunakan tin aerosol dalam satu cabaran tunggal.

Acara selama tiga hari yang berakhir hari ini di Sireh Park di sini, diiktiraf secara rasmi oleh Asia Records dan ASEAN Records di bawah kategori ‘Jumlah Tertinggi Mengecat Badan Kereta Penuh Dengan Aerosol Dalam Satu Acara’.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Pengarah Urusan ASEAN Records dan Asia Records Gillian Ooi dan Pengarah Eksekutif Eldrick Koh kepada Ketua Pegawai Eksekutif Samurai Paint Ian Ong Yoke En, Eksekutif Kanan Pembangunan Perkhidmatan Ahmad Faiz Roslani serta Penolong Pengurus Samurai Service and Academy Nurul Fateha Zainal pada majlis Pembentangan Pencapai Rekod Pengiktirafan oleh Asia Records hari ini.

Eksekutif Kanan Pembangunan Perkhidmatan Samurai Paint Ahmad Faiz Roslani (tiga kiri) menunjukkan Sijil Pengiktirafan Rekod Asia yang diterima pada acara Asia's Biggest Automotive Aerosol Spraying Event -- 30 Cars in 3 Days Challenge anjuran Samurai Paint Malaysia di Sireh Park. SAMURAI Paint mencatat rekod Asia dan ASEAN selepas berjaya melaksanakan acara semburan aerosol automotif terbesar di rantau ini melibatkan 30 badan kereta dicat sepenuhnya menggunakan tin aerosol dalam satu cabaran. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ong berkata pencapaian itu menandakan satu mercu tanda penting bagi kemasan automotif berasaskan aerosol, satu bidang yang secara tradisinya didominasi oleh sistem semburan dipacu mesin pemampat di bengkel profesional.

Beliau berkata rekod itu membuktikan usaha penyelidikan dan pembangunan selama bertahun-tahun yang bertujuan mentakrifkan semula kaedah pengecatan automotif konvensional.

“Pengiktirafan ini membuktikan teknologi aerosol mampu menghasilkan kemasan badan penuh kereta yang tahan lama dan bertaraf profesional pada skala besar, di samping kekal mudah diakses oleh peminat automotif,” katanya kepada Bernama pada acara itu hari ini.

Pengarah ASEAN Records Gillian Ooi (depan empat, kiri) bergambar bersama Eksekutif Kanan Pembangunan Perkhidmatan Samurai Paint Ahmad Faiz Roslani (tengah) dan yang lain sambil memegang anugerah pengiktirafan yang diterima pada acara Asia's Biggest Automotive Aerosol Spraying Event -- 30 Cars in 3 Days Challenge anjuran Samurai Paint Malaysia di Sireh Park. SAMURAI Paint mencatat rekod Asia dan ASEAN selepas berjaya melaksanakan acara semburan aerosol automotif terbesar di rantau ini melibatkan 30 badan kereta dicat sepenuhnya menggunakan tin aerosol dalam satu cabaran. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Tidak seperti demonstrasi industri konvensional yang dilakukan pengecat profesional, cabaran itu melibatkan peserta DIY (buat sendiri), mencerminkan tumpuan syarikat terhadap pembangunan kemahiran dan penglibatan komuniti.

Perancangan menyeluruh memastikan setiap kenderaan melalui proses penyemburan cat lengkap daripada penyediaan permukaan hingga kemasan akhir dalam tempoh tiga hari selaras dengan prosedur yang ditetapkan.

Kejayaan menyiapkan kesemua 30 kenderaan itu menekankan aliran kerja praktikal yang berstruktur berasaskan aerosol di luar persekitaran bengkel tradisional.

Percubaan rekod itu mengintegrasikan cat semburan aerosol 2K Samurai, Aero Gun berpaten serta teknologi pemadanan warna Tintatek, yang menonjolkan peningkatan dari segi ketepatan, konsistensi warna dan kecekapan aplikasi.

Menampilkan mekanisme dua komponen terbina yang membolehkan cat dan pengeras bercampur secara dalaman, Samurai 2K direka untuk menghasilkan ketahanan setaraf bengkel tanpa peralatan semburan khusus, tertakluk kepada penyediaan dan pengudaraan yang betul.

Seiring dengan penganjuran acara itu, Samurai Paint menanam 30 pokok di Sireh Park di sini, mengukuhkan komitmen syarikat itu terhadap tanggungjawab alam sekitar di samping kemajuan teknologi.

Ong berkata inisiatif yang dianjurkan di Malaysia itu bertujuan menjadi asas kepada program tahunan jangka panjang, sekali gus meletakkan syarikat itu sebagai penanda aras serantau dalam inovasi kemasan automotif berasaskan aerosol.

-- BERNAMA