Malaysia Harap BRI Bantu Pengembangan ASEAN-China Melangkaui Rantau Lain
KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Malaysia melihat Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) mampu berkembang melangkaui rangka kerja dua hala atau serantau sehingga menjadi platform untuk perkongsian ASEAN-China meneroka pasaran ketiga seperti Afrika dan Eropah.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata inisiatif tersebut boleh menyediakan batu loncatan untuk kerjasama serantau, bukan sahaja antara China dan negara ASEAN seperti Malaysia serta Indonesia tetapi juga untuk usaha sama yang menyasarkan negara lain di dalam dan di luar rangka kerja BRI.
“BRI juga mampu berfungsi sebagai platform untuk perkongsian yang lebih luas ke Afrika atau Eropah.
“Ini adalah kawasan yang mana mungkin kita boleh mengembangkan perkongsian itu dengan kita mulakan secara dua hala dalam China dan Indonesia, atau China dan Malaysia, atau China, Malaysia, Indonesia pergi ke negara lain di ASEAN,” katanya pada Persidangan China-Asia Tenggara 2026 di Jakarta, Indonesia.
Bagi Malaysia, Tengku Zafrul berkata kerajaan terus memberi tumpuan untuk menarik pelaburan ke dalam negara sambil menyokong syarikat Malaysia meneroka ke luar, dengan BRI berfungsi sebagai platform berpotensi untuk pengembangan strategik ini.
Sementara itu, beliau ketika mengulas mengenai hubungan perniagaan-ke-perniagaan Malaysia dengan Indonesia memberitahu kedua-dua negara boleh bergerak ke peringkat selanjutnya, yang mana bukan lagi semata-mata melibatkan pelaburan Malaysia tetapi melalui kerjasama dan penerokaan peluang di pasaran lain.
“Syarikat Malaysia telah lama melabur secara besar-besaran di Indonesia merentasi sektor seperti perbankan dan industri telekomunikasi, didorong oleh kepercayaan terhadap pertumbuhan ekonomi jangka panjang termasuk potensi demografi Indonesia.
“Dan baru-baru ini, terdapat pengumuman buat kali pertama dalam industri telekomunikasi yang menyaksikan dua syarikat telekomunikasi besar bergabung, Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Senario ini menunjukkan Malaysia dan Indonesia mampu bergerak ke peringkat seterusnya serta bekerjasama dengan pasaran lain juga.
Malaysia dan Indonesia mempunyai kekuatan tersendiri dan kedua-dua negara boleh saling melengkapi dalam pelbagai cara, katanya lagi.
Tengku Zafrul menegaskan penduduk Indonesia, bersama-sama dengan saiz Keluaran Dalam Negara Kasar, boleh memberi kelebihan bukan sahaja untuk ASEAN tetapi juga bagi Malaysia untuk terus meningkatkan pertumbuhan ekonominya.
-- BERNAMA
