RM12.38 Juta Disalur Kepada 34 Organisasi Media Untuk Percepat Transformasi Digital - Teo

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, menyampaikan ucapannya pada Perhimpunan Agung ke-21 Konfederasi Wartawan ASEAN di Kuala Lumpur, hari ini.
27/04/2026 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Sebanyak 34 organisasi media terpilih menerima pembiayaan berjumlah RM12.38 juta di bawah fasa pertama Dana Inovasi Media bagi mempercepatkan transformasi digital masing-masing.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata penyaluran dana itu adalah sebahagian daripada peruntukan lebih besar sebanyak RM30 juta oleh Kementerian Komunikasi pada tahun ini, bagi memperkukuh daya tahan industri media tempatan dalam menghadapi landskap digital yang berubah dengan pantas.

 Beliau berkata setiap permohonan layak menerima geran sehingga RM300,000 meliputi bidang seperti latihan tenaga kerja media, penyesuaian terhadap teknologi, sokongan infrastruktur serta penyelidikan dan pembangunan kandungan.

“Fasa pertama ditutup pada Januari, manakala fasa kedua hingga keempat telah dilaksanakan melalui pembukaan permohonan secara berperingkat pada Februari, Mac dan April, dan kini berada pada peringkat jawatankuasa kelulusan.

“Fasa kelima Dana Inovasi Media akan dibuka mulai Jumaat ini hingga 14 Mei 2026, dan organisasi media yang belum membuat permohonan disaran untuk merebut peluang ini,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung ke-21 Konfederasi Wartawan ASEAN (CAJ) di sini hari ini.

Turut hadir Presiden CAJ Atal Sembiring Depari serta Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) Low Boon Tat.

Selain itu, Teo berkata Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) terus menerajui transformasi digital dalam industri media dengan berjaya melaksanakan 41 kursus kecerdasan buatan (AI) sejak program latihan khusus itu diperkenalkan pada 2024, dengan jumlah penyertaan seramai 1,552 peserta.

Dalam ucapannya, Teo turut menegaskan komitmen Malaysia dalam mempertahankan profesionalisme media serta melindungi kebebasan akhbar, sambil menyatakan bahawa penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) pada Jun 2025 merupakan satu pencapaian penting bagi industri berkenaan.

Beliau berkata setakat ini, MMM menerima tujuh aduan melibatkan isu seperti ketepatan laporan, penggunaan imej tanpa kebenaran serta kesan kandungan terhadap keharmonian sosial, dengan lima daripadanya telah diselesaikan manakala dua masih dalam semakan.

“Bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti, semua aduan kini dikemukakan melalui platform rasmi MMM, memastikan setiap kes direkodkan, dinilai dan diurus secara sistematik serta profesional, mencerminkan komitmen kita terhadap ekosistem media yang adil dan bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, ditanya pemberita selepas majlis itu mengenai sama ada aduan terhadap media akan ditangani oleh MMM sahaja tanpa melibatkan pendakwaan jenayah, Teo berkata perkara berkenaan adalah di bawah bidang kuasa pihak polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Apabila polis terima aduan mereka memang masih berhak untuk buat siasatan dan selepas itu mereka akan rujuk kepada AGC untuk buat keputusan sama ada tutup kes atau apa-apa tindakan yang sesuai untuk diambil termasuklah pendakwaan.

“Tetapi saya harap apabila MMM menjadi semakin matang, ia boleh menjadi platform pertama untuk menguruskan isu melibatkan media, dan penting kita perlu saling menghormati antara penguat kuasa dan rakan media untuk melaksanakan tugas mereka,” katanya.

-- BERNAMA