ASEAN Belum Capai Konsensus Iktiraf Pilihan Raya Myanmar
Daripada Linda Khoo
CEBU (Filipina), 6 Mei (Bernama) – ASEAN belum mencapai kata sepakat dalam mengiktiraf keputusan pilihan raya Myanmar namun mengekalkan penglibatan dengan Naypyidaw di bawah rangka kerja sedia ada.
Jurucakap ASEAN Dominic Xavier M. Imperial berkata kumpulan serantau itu masih dipandu oleh Konsensus Lima Perkara (5PC) yang terus menjadi asas utama untuk menangani situasi di Myanmar.
“Bagaimanapun, terdapat penglibatan berterusan dalam ASEAN, bukan sahaja oleh Filipina sebagai Pengerusi tetapi juga oleh negara anggota ASEAN dalam hubungan masing-masing dengan Myanmar,” katanya pada sidang media pada Rabu.
Beliau menambah blok itu memantau teliti perkembangan, khususnya kemajuan dalam melaksanakan 5PC yang kekal sebagai rangka kerja utama memandu pendekatan ASEAN dan kedudukan itu tidak berubah.
Pilihan raya Myanmar dijalankan secara berperingkat dalam ketidakstabilan politik yang berterusan, dengan pusingan pertama pengundian diadakan pada 28 Dis tahun lepas, diikuti pusingan berikutnya pada 11 Jan dan 25 Jan.
Bekas pemimpin tentera Min Aung Hlaing menyandang jawatan sebagai presiden pada April sekali gus secara rasmi memegang tampuk kuasa selepas parti protentera memperoleh kemenangan dalam pilihan raya itu.
-- BERNAMA
