Amir Hamzah Akan Perjelas Peruntukan Persekutuan Kepada Pahang - PM

08/05/2026 08:50 PM

Daripada Niam Seet Wei

CEBU (Filipina), 8 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan meminta Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyediakan penjelasan menyeluruh berhubung peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri Pahang untuk dikemukakan kepada Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Beliau berkata Tengku Hassanal juga akan diberikan penerangan berkaitan kedudukan makroekonomi negara, tekanan ekonomi semasa dan isu pembaziran yang masih berlaku dalam pelbagai sektor.

 “Saya hormat Tengku Mahkota... (tetapi) peruntukan kepada negeri Pahang itu besar, bukan kecil. Saya akan minta Menteri Kewangan II menulis dan memberikan penjelasan keseluruhannya mengenai peruntukan untuk negeri Pahang serta keadaan ekonomi semasa. 

“Sebagai rakyat, kita hormati dan kita teliti dengan baik,” kata Perdana Menteri ketika diminta mengulas teguran Tengku Hassanal hari ini.

Anwar berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media Malaysia mengenai isu itu selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di sini.

Terdahulu, Tengku Mahkota Pahang semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang ke-15 bertitah mempersoalkan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri itu.  

-- BERNAMA