ASEAN Digesa Tangani Isu Pembiayaan Sebelum Laksana Mekanisme Perkongsian Bahan Api Serantau
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- ASEAN perlu meneliti aspek pembiayaan bagi rangka kerja mekanisme perkongsian bahan api serantau seperti yang dicadangkan sebelum melaksanakannya, kata Pengerusi Kelab Ekonomi ASEAN, Tan Sri Michael Yeoh.
“Ini kerana mengekalkan simpanan stok minyak akan melibatkan kos yang sangat mahal,” katanya kepada Bernama selepas muncul dalam program The Nation terbitan Bernama TV yang bertajuk “Malaysia in a Divided World”.
Rangka kerja ini dicadangkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan yang baru sahaja melabuhkan tirainya di Cebu, Filipina yang bertujuan membolehkan tindak balas segera terhadap kesan krisis Asia Barat.
Mengulas mengenai rangka kerja yang turut disebut oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani semasa sidang kemuncak tersebut, Yeoh berkata ia merupakan satu inisiatif yang sangat penting.
Beliau berkata kelab berkenaan berharap rangka kerja itu dapat dimuktamadkan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN yang akan datang.
“Mereka (ASEAN) juga perlu melihat kepada mekanisme perkongsian bekalan minyak jika terdapat keperluan dalam kalangan negara anggota,” katanya.
Mengulas mengenai kesan penutupan Selat Hormuz terhadap ASEAN, Yeoh berkata ia memberikan impak yang ketara kepada negara anggota tersebut memandangkan hampir 40 peratus minyak mentah di rantau ini diimport dari Asia Barat melalui Selat Hormuz.
Beliau berkata bekalan baja di rantau ini turut terjejas.
Sehubungan itu, beliau berpendapat negara-negara anggota ASEAN termasuk Malaysia harus mencari sumber bekalan baja yang baharu.
Yeoh turut mencadangkan iaitu komitmen yang teguh diperlukan untuk memastikan kelancaran pelayaran kapal-kapal di Selat Melaka bagi mengelakkan insiden serupa berlaku di Selat Hormuz.
-- BERNAMA
