Anwar Hargai Pendirian Putin, Xi Demi Keamanan Dalam Krisis Iran, Gaza
KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden China Xi Jinping kerana mengambil pendirian yang memihak kepada keamanan serta mengutuk kekejaman terhadap rakyat di Gaza, Iran dan Lubnan.
Perdana Menteri berkata Malaysia secara konsisten mengambil pendirian tegas terhadap serangan oleh rejim Zionis dan mempertahankan prinsipnya secara bebas tanpa dipengaruhi mana-mana kuasa besar.
“Sebab itulah kita mengambil pendirian yang sangat tegas terhadap serangan awal oleh rejim Zionis yang dilakukan dengan sokongan Amerika Syarikat (AS).
“Kami membuat keputusan di Parlimen secara dwipartisan dan terus melaksanakan pelbagai usaha libat urus,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama rangkaian televisyen berita antarabangsa Rusia, RT.
Temu bual itu diadakan sempena lawatan rasmi beliau ke Kazan, Rusia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Ulang Tahun ke-35 Hubungan ASEAN-Rusia.
Anwar berkata beliau turut mengadakan perbincangan dengan pemimpin negara Teluk, Pakistan dan Turkiye serta Iran sebagai sebahagian daripada usaha mencari penyelesaian yang adil kepada konflik berkenaan.
“Kini apabila kita telah mencapai sesuatu yang adil, saya berharap kita akan berjaya.
“Sebab itulah saya secara terbuka memuji dan mengucapkan terima kasih kepada Presiden Putin dan Presiden Xi Jinping kerana mengambil pendirian demi keamanan serta mengutuk kekejaman terhadap rakyat Iran, Gaza dan kini Lubnan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia dan ASEAN berpegang kepada prinsip Pemusatan ASEAN dan bukannya berkecuali, serta tidak akan berdiam diri apabila berdepan kekejaman.
“Bagi Malaysia khususnya, dan juga ASEAN, kami tidak menggunakan istilah berkecuali kerana kami tidak berkecuali apabila melibatkan Gaza, kekejaman yang dilakukan atau serangan terhadap Lubnan.
“Justeru, kami menggunakan istilah pemusatan. Ia bermaksud kami tidak terikat dengan mana-mana pendirian ideologi atau kuasa besar tertentu, namun kami tetap menyuarakan pendirian dan perasaan kami secara tegas dan konsisten berhubung hak asasi manusia, penyalahgunaan kuasa dan kekejaman yang dikenakan terhadap pelbagai golongan minoriti di tempat lain,” katanya.
Anwar berkata isu berkenaan bukan mudah untuk ditangani, namun Malaysia terus mengambil pendirian bebas meskipun berdepan kebimbangan geopolitik yang melibatkan kuasa-kuasa besar.
Perdana Menteri turut mengkritik apa yang disifatkannya sebagai sikap hipokrit Barat yang membenarkan tindakan Israel.
“Bagaimana anda boleh membenarkan pendirian yang diambil oleh sebuah negara seperti Israel, dan kemudian disokong oleh AS, untuk menyerang sebuah negara berdaulat yang lain?
“Implikasi dan kesannya merebak ke seluruh rantau Teluk dan kini kepada masyarakat antarabangsa. Saya tidak bercakap mengenai kesukaran ekonomi akibat perang. Saya bercakap mengenai prinsip asas.
“Adakah kita menerima perkara ini? Atau adakah kita boleh membiarkan kemunafikan seperti ini terus berterusan dalam dunia moden dan bertamadun yang kecil ini?” katanya.
Beliau berkata walaupun ada pihak yang berhak mengulas dan mengkritik tindak balas Iran, beliau turut mempersoalkan sikap berdiam diri terhadap pencerobohan ke atas negara itu.
“Tetapi mengapa wujud sikap berdiam diri sepenuhnya apabila melibatkan kekejaman dan pencerobohan terhadap Iran? Jadi anda dapat melihat percanggahan ini, yang saya sifatkan sebagai kemunafikan, dan ia mesti dihentikan,” katanya.
-- BERNAMA
