China Pacu Logistik Pintar Pelabuhan Guna Automasi Dan AI

19/06/2026 03:47 PM

Daripada Siti Zanariah Nor Zin

(Penulis ialah wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang terpilih mewakili media Malaysia bagi menyertai program fellowship Program Pusat Komunikasi Akhbar China (CIPCC) selama tiga bulan anjuran Persatuan Diplomasi Awam China.)

 

QINZHOU (China), 19 Jun (Bernama) -- China terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju teknologi logistik pintar menerusi penggunaan kecekapan automoasi dan kecerdasan buatan (AI) secara menyeluruh.

Pelaksanaan teknologi tinggi itu diintegrasikan sepenuhnya di Pusat Inovasi Pelabuhan Pintar di Pelabuhan Teluk Beibu yang merupakan antara pelabuhan paling pesat berkembang di negara ini.

Pemerhatian penulis semasa lawatan ke pelabuhan itu baru-baru ini mendapati penggunaan teknologi pintar membolehkan sebahagian besar operasi pelabuhan dikendalikan secara automatik menerusi penggunaan kren pintar, kenderaan pengangkut kontena tanpa pemandu serta sistem digital yang mampu mengumpul serta menganalisis data operasi secara masa nyata bagi meningkatkan kecekapan pengendalian kargo.

Jurucakap di terminal kargo itu berkata semua operasi di lapangan dipantau dan dikendalikan daripada pusat kawalan yang terletak kira-kira satu kilometer dari kawasan terminal.

“Semua peralatan di terminal ini adalah automatik. Sistem akan mengumpulkan data operasi harian dan mengagihkan tugasan kepada peralatan berkaitan secara automatik.

“Kakitangan hanya menjalankan pemantauan jarak jauh dan hanya turun ke lokasi bagi operasi tertentu apabila diperlukan,” katanya ketika memberi taklimat kepada delegasi media antarabangsa yang melawat pusat berkenaan.

Beliau berkata penggunaan teknologi digital membolehkan peralatan menerima arahan dan melaksanakan tugasan secara autonomi tanpa campur tangan manusia secara langsung.

Terminal kargo itu direka untuk mengendalikan sehingga 2.6 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) setahun dengan empat dermaga automatik mengendalikan 2.205 juta TEU pada 2025, mencerminkan tahap penggunaan yang tinggi.

Menurutnya, antara kelebihan utama terminal itu ialah penggunaan laluan berbentuk U yang membolehkan trak kontena konvensional memasuki kawasan operasi dengan lebih mudah berbanding terminal automatik konvensional.

“Reka bentuk ini mengurangkan kos penyediaan peralatan dan pelaburan infrastruktur selain meningkatkan kecekapan pengangkutan kerana trak tidak perlu mengundur untuk mengambil kontena,” katanya.

Beliau berkata perkembangan teknologi serta peningkatan kapasiti operasi itu membantu Pelabuhan Teluk Beibu muncul sebagai antara hab logistik utama China yang menghubungkan negara itu dengan ASEAN.

Pada 2025, pelabuhan berkenaan mengendalikan 358 juta tan kargo, meletakkannya di kedudukan kesembilan dalam kalangan pelabuhan pesisir China.

Bagi pengendalian kontena pula, pelabuhan itu merekodkan lebih 10 juta TEU pada tahun yang sama, menjadikannya pelabuhan pesisir kelapan terbesar di negara itu dari segi jumlah kontena.

Pelabuhan Teluk Beibu juga memainkan peranan penting dalam menyokong perdagangan antara China dan ASEAN termasuk Malaysia menerusi rangkaian logistik yang menghubungkan China-Malaysia Qinzhou Industrial Park (CMQIP) dan Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP).

-- BERNAMA