Ekspo China-ASEAN Ke-23 Tumpukan Perkongsian Peluang Baharu
NANNING, 24 Jun (Bernama-CMG) -- Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-23 akan berlangsung pada 17 hingga 21 Sept tahun ini di bandar Nanning, wilayah Guangxi.
CAEXPO yang bertemakan “Berkongsi Peluang Versi 3.0 dan Bekerjasama untuk Mewujudkan Kehidupan yang Baik” itu, akan mempamerkan sepenuhnya hasil terkini dan hala tuju masa depan kerjasama China-ASEAN.
Para pempamer akan dijemput berkongsi pengalaman praktikal di barisan hadapan, selain menyertai dialog peringkat tinggi dan mengikuti ulasan profesional semasa majlis pelancaran Kertas Biru di ekspo berkenaan, yang turut menampilkan zon pameran ekonomi digital serta zon pameran rendah karbon.
CAEXPO edisi kali ini juga akan memberi tumpuan kepada tiga komponen utama penjenamaan, iaitu "Belanja di China", "Eksport ke China" dan "Pelaburan di China".
Pelbagai aktiviti berkaitan, termasuk majlis pelancaran sulung produk baharu serta pameran produk laris, dijangka membantu mempromosikan barangan berkualiti tinggi dari negara-negara ASEAN ke pasaran China, selain membantu syarikat terbabit mengadakan pelbagai sesi padanan perniagaan.
Selain itu, penekanan juga akan diberikan kepada aplikasi kecerdasan buatan (AI) melalui pameran produk dan pakej penyelesaian AI di pelbagai bidang.
Pameran itu bakal menampilkan secara menyeluruh produk AI baharu dan teknologi canggih yang digunakan dalam pelbagai aspek kehidupan seharian, sekali gus mengetengahkan keperluan aplikasi AI di negara-negara ASEAN merangkumi bidang ekonomi, perdagangan serta industri.
-- BERNAMA-CMG
