Kepusatan ASEAN Perlu Kekal Sebagai Asas Dasar Luar Malaysia - PM Anwar
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Pemusatan ASEAN perlu kekal sebagai asas dasar luar Malaysia dan platform utama untuk mempromosikan keamanan, kemakmuran dan kestabilan serantau, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menyampaikan ucaptama pada Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-39, Anwar berkata masa depan Malaysia berkait rapat dengan ASEAN justeru penting untuk kumpulan serantau itu terus diberikan keutamaan meskipun berdepan cabaran dan ketidaktentuan.
"Beberapa cabaran datang tanpa diduga dalam tempoh kami (sebagai pengerusi), gempa bumi dahsyat di Myanmar yang sudah pun dalam kancah perang saudara, pertelingkahan sempadan antara Kemboja dan Thailand, serta tarif unilateral, tidak adil dan secara asasnya cacat, yang dikenakan oleh Amerika Syarikat," katanya di sini pada Khamis.
Mengenai Myanmar, Anwar berkata pemimpin ASEAN baru-baru ini membincangkan cara untuk menjadikan penglibatan blok itu lebih berani, lebih kreatif dan pragmatik, sambil menekankan bahawa usaha masa depan harus melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuk pihak berkuasa di Naypyidaw, parti politik pembangkang, kumpulan bersenjata etnik dan pertubuhan bukan kerajaan tempatan.
Beliau berkata sebarang penyelesaian politik akhirnya mestilah daripada Myanmar dan diterajui Myanmar dan bukannya dipaksa dari luar, selain menambah bahawa pemusatan ASEAN penting dalam memupuk keazaman kolektif yang diperlukan untuk memajukan proses itu ke hadapan.
Mengenai situasi sempadan Thailand-Kemboja, Anwar menyambut baik komitmen yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet ke arah mencapai keamanan berkekalan.
Beliau berkata ASEAN perlu menangani isu-isu dengan jelas dan yakin di samping memelihara perpaduan dalam kalangan negara anggota dan bekerjasama rapat dengan rakan dialog sehaluan.
-- BERNAMA
