Filipina Anjur Mesyuarat Menteri Luar ASEAN, Rundingan Myanmar Julai Ini
MANILA, 9 Julai (Bernama-PNA) -- Filipina bersedia untuk menjadi tuan rumah bagi beberapa mesyuarat menteri luar dan pegawai peringkat tinggi di Manila bermula dari 18 hingga 24 Julai ini sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) dan ulang tahun ke-50 Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Jurucakap Hal Ehwal ASEAN bagi Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) Filipina, Dax Imperial berkata pada Khamis kesemua menteri luar ASEAN dijangka hadir, kecuali Myanmar yang akan diwakili oleh setiausaha tetapnya.
Turut dijangka hadir ialah menteri luar dari Australia, New Zealand, India, Jepun dan Kesatuan Eropah (EU).
Sepanjang tempoh berkenaan, Manila akan mengadakan rundingan tidak rasmi dengan Myanmar berhubung pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, Persidangan Pasca-Menteri AMM dengan rakan dialog, ASEAN Campur Tiga (China, Jepun dan Korea Selatan), Forum Serantau ASEAN (ARF) peringkat tinggi serta aktiviti memperingati ulang tahun ke-50 TAC.
ARF berfungsi sebagai platform untuk dialog dan kerjasama dalam hal-hal keselamatan yang berkaitan dengan rantau Indo-Pasifik.
Ia dianggotai oleh 27 negara anggota termasuk 11 negara anggota ASEAN, 10 Rakan Dialog ASEAN (Australia, Kanada, China, EU, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat), serta Bangladesh, Korea Utara, Mongolia, Pakistan, Sri Lanka dan Papua New Guinea.
Setakat laporan ini dikeluarkan, Imperial berkata DFA masih menunggu pengesahan daripada menteri luar dan wakil negara lain yang akan hadir.
Beliau menambah bahawa "belum ada pengesahan" setakat ini mengenai kehadiran Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio.
Selain Filipina, anggota ASEAN yang lain terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Timor-Leste dan Vietnam.
-- BERNAMA-PNA
