China, ASEAN Komited Perkukuh Kerjasama, Pelihara Kepentingan Bersama

Kredit : CMG
22/07/2026 07:10 PM

MANILA, 22 Julai (Bernama-CMG) -- China bersedia bekerjasama dengan ASEAN bagi memperkukuh kerjasama, meningkatkan persefahaman dan saling menyokong dalam memelihara kepentingan bersama, selain mempertahankan kepentingan negara-negara Selatan Global serta mendorong pembentukan orde antarabangsa yang lebih adil dan munasabah.

Menteri Luar China Wang Yi berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung ASEAN Kao Kim Hourn di sini pada Selasa.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-50 Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), selain ulang tahun kelima penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-China.

Wang berkata China merupakan negara besar pertama yang menyertai TAC, sekali gus mendorong lebih banyak negara utama untuk berbuat demikian dan meningkatkan kedudukan ASEAN di persada antarabangsa.

Beliau berkata China akan terus menyokong usaha membangunkan Komuniti ASEAN.

Wang turut memaklumkan bahawa China baru-baru ini berjaya menganjurkan Persidangan Kecerdasan Buatan Sedunia (WAIC) 2026 di Shanghai dan mencadangkan penubuhan Pertubuhan Kerjasama Kecerdasan Buatan Dunia (WAICO).

WAICO bermatlamat meningkatkan keupayaan negara-negara Selatan Global dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI), sekali gus membolehkan mereka mengikuti perkembangan pesat teknologi itu.

Beliau turut berharap ASEAN akan mengambil bahagian secara aktif dalam kerjasama AI antarabangsa dan mengalu-alukan penyertaan lebih banyak negara anggotanya dalam pertubuhan berkenaan.

Sementara itu, Kao menyifatkan hubungan ASEAN-China serta hasil kerjasama praktikal kedua-dua pihak sebagai positif, selain merakamkan penghargaan atas sokongan kukuh China terhadap kepusatan ASEAN di rantau ini.

Beliau berkata China merupakan antara rakan perkongsian strategik komprehensif terpenting ASEAN, dengan kedua-dua pihak telah mewujudkan 65 mekanisme kerjasama.

Menurutnya, Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China semakin dinaik taraf, manakala jumlah perdagangan dua hala melebihi US$1 trilion pada 2025.

Kao berkata tahun depan menandakan ulang tahun ke-25 pemeteraian Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC).

Beliau berkata ASEAN menyokong pendekatan dwi-landasan, mempercepat rundingan mengenai Kod Tatalaku di Laut China Selatan (CoC) serta menjadikan perairan itu sebagai kawasan yang aman, stabil dan menggalakkan kerjasama serta persahabatan.

ASEAN juga bersedia bekerjasama dengan China untuk memelihara keamanan dan kestabilan serantau, selain menyumbang kepada pembangunan serta kemakmuran Asia Pasifik, kata beliau. 

-- BERNAMA-CMG