AS Mahu Perluas Kerjasama Tenaga Dengan ASEAN, Pacu Pembangunan SMR
Oleh Nik Nurfaqih Nik Will
JAKARTA, 24 Julai (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) bersedia memperluas kerjasama tenaga dengan ASEAN, termasuk dalam pembekalan gas asli cecair (LNG) dan pembangunan reaktor kecil bermodul (SMR) bagi membantu rantau ini memenuhi keperluan tenaga yang semakin meningkat.
Duta AS ke ASEAN Kevin Kim menyifatkan rantau ini sebagai “pemacu pertumbuhan ekonomi abad ke-21” dan berkata ASEAN memerlukan bekalan tenaga tambahan yang besar bagi menyokong pertumbuhannya.
“Amerika Syarikat mahu bekerjasama dengan Asia Tenggara dalam pelbagai bidang tenaga, selain menjadi sumber kepelbagaian bekalan bagi pasaran rantau ini.
“Kami mahu bekerjasama dengan Asia Tenggara dengan menyediakan akses kepada pasaran LNG Amerika, menyokong pembangunan dan penggunaan teknologi keluaran AS, selain bekerjasama dengan ASEAN dalam bidang reaktor kecil bermodul,” katanya.
Beliau berkata demikian pada taklimat media secara maya mengenai hasil penyertaan AS dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-59 dan mesyuarat berkaitan di Manila, Filipina.
Setiausaha Negara AS Marco Rubio mewakili Washington pada mesyuarat itu pada Rabu.
Kim berkata AS turut mengiktiraf usaha ASEAN memperkukuh daya tahan tenaga serantau menerusi pelaksanaan Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN dan pembangunan stok simpanan petroleum strategik.
Beliau berkata Washington akan terus terlibat secara aktif dalam isu berkaitan tenaga.
Kim berkata Rubio baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman dengan rakan sejawatnya dari Jepun dan Korea Selatan di luar Sidang Kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagi memperkukuh kerjasama tiga hala dalam pembangunan SMR.
Beliau menyifatkan teknologi itu sebagai komponen yang semakin penting dalam bekalan tenaga masa depan.
“Dengan mengambil kira permintaan tenaga di rantau ini, di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia, SMR akan memainkan peranan penting dalam membekalkan tenaga pada masa hadapan,” kata beliau.
Kim berkata AS sedang mengadakan perbincangan terperinci dengan beberapa kerajaan ASEAN mengenai potensi kerjasama dalam sektor berkenaan, namun enggan mendedahkan negara atau cadangan tertentu kerana rundingan masih berlangsung dan bersifat sensitif.
“Saya tidak mahu mengulas terlalu banyak mengenai negara tertentu atau tempoh pelaksanaannya kerana perbincangan itu masih sensitif dan kerajaan terbabit masih bertukar-tukar pandangan,” katanya.
Mengenai pelaksanaan kerangka kerja tiga hala SMR yang baru ditandatangani, Kim berkata AS, Jepun dan Korea Selatan akan meneruskan perbincangan terperinci mengenai langkah seterusnya.
Bagaimanapun, masih belum diputuskan sama ada rundingan akan datang akan dilaksanakan menerusi mekanisme perundingan yang lebih formal atau tersusun.
Beliau berkata kerjasama dalam bidang SMR kekal menjadi keutamaan pentadbiran AS, sambil menyatakan teknologi itu turut merupakan keutamaan bagi banyak kerajaan di Asia Tenggara.
-- BERNAMA
