EU Perkukuh Peranan Sebagai Rakan Keselamatan Filipina Dengan Bantuan Baharu PHP1 Bilion
MANILA, 24 Julai (Bernama-PNA) -- Kesatuan Eropah (EU) melancarkan pakej bantuan baharu bernilai 15 juta euro (PHP1.05 bilion) bagi memperkukuh lagi keupayaan maritim Filipina, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Bantuan itu merupakan pakej bantuan keselamatan maritim pertama yang diterima Filipina menerusi Kemudahan Keamanan Eropah (EPF) blok berkenaan.
"Sokongan ini akan memperkukuh keupayaan maritim negara anda menerusi peralatan pengawasan dan pemantauan tidak membawa maut.
"Ini merupakan sokongan pertama Kemudahan Keamanan Eropah yang dilaksanakan di Indo-Pasifik dan jelas menunjukkan bahawa Eropah sedang meningkatkan peranannya sebagai rakan kongsi keselamatan di rantau ini," kata Wakil Tinggi EU bagi Hal Ehwal Luar Kaja Kallas yang sedang dalam rangka lawatan pada Jumaat.
Diplomat tertinggi EU itu mengumumkan bantuan berkenaan selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Ma. Theresa Lazaro dan pelancaran rasmi perkongsian ditingkatkan EU-Filipina di luar acara Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-59.
EPF ialah instrumen bernilai jutaan euro yang bertujuan meningkatkan keupayaan EU untuk mencegah konflik, membina dan mengekalkan keamanan serta memperkukuh keselamatan dan kestabilan antarabangsa.
Bantuan kepada Manila itu akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keupayaan kesedaran domain maritim Angkatan Tentera Filipina di seluruh zon maritim negara berkenaan.
-- BERNAMA-PNA
