Pakej US$2.5 Bilion AS Utamakan AI, Teknologi Masa Depan Di Asia Tenggara -- Duta
JAKARTA, 24 Julai (Bernama) -- Pakej Amerika Syarikat (AS) bernilai US$2.5 bilion (US$1=RM4.09) bagi Asia Tenggara merangkumi pelbagai kategori dengan penekanan untuk memajukan kecerdasan buatan (AI), pusat data serta teknologi masa depan lain yang seiring dengan kepesatan ekonomi digital rantau itu.
Duta Besar AS ke ASEAN Kevin Kim berkata penekanan itu memaparkan peningkatan minat Asia Tenggara dalam pembangunan ekonomi digital.
Ini juga sejajar dengan hasrat pentadbiran Presiden AS Donald Trump untuk berkongsi bantuan asing negara berkenaan secara strategik bagi membolehkan AS dan rantau itu meraih manfaat daripada pertumbuhan ekonomi digital.
“Kita mengakui bahawa sebarang bentuk pertumbuhan dalam ekonomi digital akan melibatkan Asia Tenggara di masa depan. Sehubungan itu, pentadbiran Presiden Trump mahu memanfaatkan bantuan luar ini secara strategik dan melihat bagaimana AS dan Asia Tenggara dapat meraih manfaat bersama dalam pembangunan ekonomi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media secara maya mengenai rumusan dan impak penyertaan AS dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-59 dan mesyuarat berkaitan di Manila.
Pada mesyuarat itu, Washington diwakili oleh Setiausaha Negara AS Marco Rubio yang turut mengumumkan pakej bantuan bernilai US$2.5 bilion.
Menjelaskan selanjutnya, Kim berkata komponen berkaitan AI itu termasuk pelancaran inisiatif AS-ASEAN AI Spark yang bertujuan menyokong pelaksanaan teknologi AI dari AS di Asia Tenggara yang merangkumi penyediaan bantuan kewangan dan teknikal kepada kerajaan yang berminat untuk mengguna pakai aplikasi AI dalam sektor awam.
Di samping AI, beliau berkata AS turut melabur sebanyak US$1.5 bilion menerusi platform pelaburan bagi kemudahan pembangunan infrastruktur keterjaminan tenaga di serata Indo-Pasifik yang disifatkan beliau sebagai pelaburan tunggal terbesar dalam sejarah Perbadanan Kewangan Pembangunan Antarabangsa AS.
Beliau berkata pelaburan itu turut melengkapkan geran dan inisiatif lain AS yang menyokong keterjaminan tenaga di Asia Tenggara.
Pada masa sama, Washington turut memperhebat usaha membanteras jenayah rentas negara, mengukuhkan kerjasama penguatkuasaan undang-undang serta memperluas program pendidikan dan latihan ketenteraan di seluruh rantau ini.
Kim berkata AS juga sedang mengusahakan persetujuan bersama dengan Filipina bagi menyediakan sehingga US$685 juta bagi mengukuhkan kapasiti negara berkenaan untuk mengesan, merawat serta pencegahan HIV yang menjadi usaha meluas bagi menambahbaik keterjaminan kesihatan serantau.
-- BERNAMA
