ASEAN PAC: Kemasukan Timor-Leste Kukuhkan Kerjasama Serantau Banteras Rasuah

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman (enam, kiri) bergambar kenangan bersama deligasi ASEAN pada majlis perasmian 22nd Secretariat Meeting of ASEAN Parties Againts Corruption di sebuah hotel dekat Banda Hilir, hari ini.
28/07/2026 12:31 PM

MELAKA, 28 Julai (Bernama) -- Kemasukan Timor-Leste sebagai anggota baharu ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) dijangka memperkukuh kerjasama serantau dalam usaha membanteras rasuah, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman.

Beliau berkata Timor-Leste akan diterima secara rasmi sebagai anggota ASEAN-PAC pada Mesyuarat Sekretariat ASEAN-PAC Ke-22 yang berlangsung di Melaka, hari ini.

"Pada kali ini kita menerima keahlian Timor-Leste dalam mesyuarat Jawatankuasa Sekretariat ini, dan kita akan membimbing mereka dalam program-program yang telah kita aturkan selama ini serta program yang akan datang.

"Saya percaya Timor-Leste juga akan begitu terbuka untuk menerima segala perancangan yang telah kita aturkan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan perasmian mesyuarat ASEAN-PAC di sini, hari ini.

Abd Halim berkata Malaysia menjadi tuan rumah Mesyuarat Sekretariat ASEAN-PAC ke-22 yang menghimpunkan wakil agensi antirasuah negara-negara anggota bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama serta menyelaras pelaksanaan program antirasuah di rantau ini.

Antara delegasi yang hadir termasuk daripada organisasi antarabangsa, iaitu Pihak Berkuasa Antirasuah Antarabangsa (IAACA), Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) serta Bank Pembangunan Asia (ADB).

Beliau berkata ASEAN-PAC yang diadakan setiap tahun secara bergilir-gilir menjadi platform kerjasama serta memperbaharui komitmen membanteras rasuah.

Tahun ini, Malaysia menjadi tuan rumah mesyuarat peringkat sekretariat selepas menganjurkan mesyuarat peringkat ketua-ketua agensi pada tahun lepas.

"Selepas tamat tempoh Malaysia sebagai pengerusi, tanggungjawab itu akan diserahkan kepada Myanmar pada mesyuarat seterusnya yang dijangka berlangsung pada Oktober," katanya. 

Abd Halim berkata komitmen negara-negara anggota terhadap ASEAN-PAC kekal tinggi apabila kerjasama tidak hanya terjalin melalui mesyuarat tahunan, malah diteruskan sepanjang tahun menerusi persidangan video, surat-menyurat dan pelbagai platform komunikasi lain.

"Kerjasama yang diberikan oleh negara-negara anggota terhadap kemajuan ASEAN-PAC adalah begitu baik, dan kita akan terus memperkukuh kerjasama ini dalam usaha membanteras rasuah di rantau ASEAN," katanya.

-- BERNAMA