Indonesia Perhebat Usaha Jadi Hab Acara Perniagaan Utama ASEAN
Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 30 Julai (Bernama) -- Indonesia memperhebat usaha untuk muncul sebagai hab utama acara perniagaan ASEAN dengan memanfaatkan perkembangan pesat industri mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) bagi merangsang pelaburan, pelancongan bernilai tinggi serta pertumbuhan ekonomi.
Menteri Pelancongan Widiyanti Putri Wardhana berkata industri MICE kini berkembang melangkaui penganjuran persidangan dan pameran, sekali gus menjadi pemacu utama kepada pelaburan, inovasi, pemindahan pengetahuan dan penciptaan nilai dalam pelbagai sektor.
Beliau berkata sektor itu merupakan antara segmen terbesar dalam industri pengurusan acara global, menyumbang kira-kira 30.75 peratus daripada hasil industri pada 2024, dengan nilai pasarannya dianggarkan hampir US$1.2 trilion (US$1=RM4.08).
“Kami berharap Indonesia dapat memperkukuh peranannya sebagai hab acara perniagaan di rantau ASEAN, di samping memacu pertumbuhan pelancongan berkualiti tinggi, mampan dan berimpak ekonomi tinggi,” kata beliau pada Forum Acara Perniagaan Asia Tenggara (SEABEF) 2026 pada Khamis, menurut kenyataan kementerian.
SEABEF 2026 dianjurkan serentak dengan Indonesia Business Event Mart (IBEM) 2026 yang berlangsung dari 28 hingga 31 Julai.
Kedua-dua acara itu dijangka memperkukuh perkongsian industri serta menyokong aspirasi Indonesia untuk muncul sebagai hab acara perniagaan serantau.
Sementara itu, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Airlangga Hartarto berkata Indonesia menerima kedatangan 1.38 juta pelancong antarabangsa pada Mei, selain merekodkan kira-kira 106 juta perjalanan pelancongan domestik, dengan kedua-dua angka mencatat pertumbuhan tahun ke tahun.
Beliau berkata sektor penginapan serta makanan dan minuman, yang menjadi komponen penting industri pelancongan Indonesia berkembang 13.14 peratus pada suku pertama 2026, mencerminkan momentum kukuh sektor itu.
“Asas yang kukuh ini meletakkan Indonesia pada kedudukan baik untuk menjadi hab MICE global, khususnya ketika pasaran semakin beralih kepada trend perjalanan yang menggabungkan urusan perniagaan dan percutian atau ‘bleisure’,” katanya.
Airlangga berkata daya saing Indonesia boleh terus diperkukuh dengan menggabungkan acara perniagaan dan pengalaman pelancongan di destinasi seperti Borobudur, Prambanan, Garuda Wisnu Kencana, Taman Negara Komodo dan Danau Toba.
Beliau berkata langkah itu perlu disokong dengan penambahbaikan jaringan pengangkutan dan perhubungan, penggunaan kecerdasan buatan (AI), peluasan infrastruktur pelancongan serta kerjasama lebih erat antara kementerian dan agensi.
-- BERNAMA
