Minggu Kerjasama Pendidikan China-ASEAN Tumpu Pendidikan Digital

Kredit: CMG
30/07/2026 04:19 PM

GUIYANG (China), 30 Julai (Bernama-CMG) -- Minggu Kerjasama Pendidikan China-ASEAN 2026 yang berlangsung selama enam hari di Guiyang, provinsi Guizhou bermula 28 Julai lepas, memberi tumpuan kepada pendidikan digital, pendidikan vokasional dan pertukaran belia.

Sempena majlis perasmian aktiviti itu, Kementerian Pendidikan China melancarkan program pembinaan kapasiti pendidikan pintar China-ASEAN.

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan kemahiran kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan guru, pelajar dan pengurus pendidikan menerusi penganjuran pelbagai bengkel, sesi latihan serta kem musim panas dan musim sejuk.

Pada majlis sama, Pusat Pembinaan Kapasiti Digital Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) China-ASEAN di Thailand dilancarkan secara rasmi.

Pusat berkenaan merupakan platform pemerkasaan digital pendidikan vokasional kedua di rantau ASEAN selepas Malaysia, yang membolehkan pembangunan kursus bersama, pertukaran warga didik dan perkongsian hasil penyelidikan sesama negara.

Pada masa sama, skim Pengiktirafan Bersama Antarabangsa bagi Hasil Pembelajaran Pendidikan Vokasional (IMRVELO) turut diperkenalkan, dengan 34 bidang vokasional dipilih bagi fasa percubaan pertama inisiatif berkenaan.

-- BERNAMA-CMG