Pengerusi ASEAN Ulangi Seruan Pembebasan Tanpa Syarat Aung San Suu Kyi
KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- ASEAN sekali lagi menyeru pembebasan sepenuhnya dan tanpa syarat pemimpin Myanmar yang ditahan, Aung San Suu Kyi, susulan pertemuan beliau baru-baru ini dengan Wakil Tetap Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) ke Myanmar, Arnaud de Baecque.
Pengerusi ASEAN, dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, menyambut baik pertemuan pada 3 Ogos itu dan menyifatkannya sebagai perkembangan positif dalam usaha Myanmar ke arah keamanan dan perdamaian negara itu.
"Kami melihat perkembangan ini sebagai satu langkah positif ke arah dialog nasional yang inklusif dan perdamaian antara semua pihak di Myanmar serta berharap ia akan membuka jalan kepada akses yang lebih kerap dan berterusan kepada keluarga, peguam, petugas perubatan dan wakil kemanusiaan yang berkaitan," menurut kenyataan itu.
ASEAN turut menggesa akses yang lebih luas diberikan kepada individu yang ditahan di Myanmar sejak Februari 2021, sambil menegaskan bahawa langkah positif selanjutnya akan membantu membina kepercayaan dan mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif bagi keamanan dan kestabilan berkekalan di negara itu.
Pengerusi ASEAN menegaskan semula kepentingan berterusan peranan Utusan Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar dalam melibatkan semua pihak berkepentingan ke arah dialog nasional yang inklusif, selaras dengan Konsensus Lima Perkara (5PC).
"Sehubungan itu, kami berharap Utusan Khas akan diberikan akses untuk melawat Myanmar bagi bertemu semua pihak berkaitan, termasuk Daw Aung San Suu Kyi, sebagai sebahagian daripada mandat beliau di bawah 5PC.
"Kami menegaskan semula komitmen berterusan untuk membantu Myanmar, sebagai sebahagian daripada ASEAN, ke arah penyelesaian yang aman dan berkekalan terhadap situasi di Myanmar yang diterajui dan dimiliki oleh Myanmar sendiri," menurut kenyataan itu.
Filipina memegang jawatan Pengerusi ASEAN bagi tahun 2026.
-- BERNAMA
