Kerjasama Diplomatik China-ASEAN Penting Tangani Isu LCS - Pakar Malaysia

Kredit: CMG
18/08/2026 02:44 PM

BEIJING, 18 Ogos (Bernama-CMG) -- Kerjasama diplomatik yang erat antara China dengan negara-negara ASEAN penting dalam mempergiat rundingan dan mencari penyelesaian secara aman terhadap isu Laut China Selatan (LCS), menurut seorang pakar Malaysia.

Felo Operasi Psikologi Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata hubungan diplomatik yang erat antara kedua-dua pihak mampu membuka ruang lebih luas untuk mempergiat rundingan, memperkukuh kerjasama dua hala serta meningkatkan saluran diplomatik dalam menangani sebarang perbezaan dan pertikaian.

“Kerjasama langsung antara China dengan negara-negara ASEAN, sama ada secara dua hala mahupun menerusi ASEAN sebagai satu blok, mampu memudahkan usaha mencari titik persamaan dan penyelesaian secara aman terhadap isu LCS,” katanya ketika ditemu bual wartawan CGTN Malay baru-baru ini.

Beliau berkata pendekatan itu turut memberi ruang kepada China dan ASEAN untuk memperkukuh persefahaman berasaskan kepentingan bersama dan undang-undang antarabangsa.

Noor Nirwandy berkata Kod Tatalaku (CoC) penting bagi memastikan isu berkaitan LCS dapat ditangani dengan baik, dengan perkara itu kini sedang dibincangkan dan dijangka dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, November ini.

Beliau yang juga pakar perang saraf serta penganalisis keselamatan dan politik berkata CoC bagi Laut China Selatan bukan sekadar mekanisme untuk menguruskan pertikaian wilayah, malah berperanan sebagai platform untuk memperkukuh diplomasi dan hubungan strategik antara China dengan negara-negara ASEAN.

Menurut beliau, hubungan pembangunan antara ASEAN dengan China semakin saling berkait, justeru kedua-dua pihak perlu melihat kerjasama itu dalam kerangka lebih menyeluruh bagi menangani pelbagai isu serantau.

Beliau berkata menerusi kerjasama diplomatik yang lebih erat, China dan ASEAN berpotensi membentuk kerangka penyelesaian yang mengutamakan rundingan, persefahaman dan pendekatan bukan ketenteraan.

Pendekatan itu katanya selari dengan prinsip Kepusatan ASEAN yang menekankan peranan utama ASEAN dalam menentukan hala tuju keamanan dan kestabilan rantau bersama rakan strategik seperti China.

Pada masa sama, Noor Nirwandy menegaskan bahawa kejayaan CoC amat penting dalam menjamin kestabilan politik, ekonomi dan keselamatan ASEAN, selain memastikan keamanan dan keselamatan di LCS dapat dipelihara dalam jangka panjang.

-- BERNAMA-CMG