ASEAN-AS Perkukuh Pengesanan Awal, Pemantauan Genomik Bagi Keselamatan Kesihatan - Dzulkefly

11/09/2026 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- ASEAN dan Amerika Syarikat (AS) akan memperkukuh kerjasama dalam pengesanan awal, pemantauan genomik, analisis data raya dan pendekatan One Health sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan kesihatan serantau, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN-AS yang julung kali diadakan hari ini mengukuhkan semula iltizam bersama untuk memajukan bidang berkenaan, di samping mempercepatkan sokongan kepada Pusat ASEAN bagi Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Baharu Muncul ASEAN (ACPHEED) serta Sistem Koordinasi Kecemasan Kesihatan Awam ASEAN (APHECS).

“Penerimaan agenda-agenda ini bukanlah pengakhiran usaha kita, sebaliknya permulaan kepada pelaksanaan strategik kita. Ukuran sebenar kejayaan kita terletak pada sejauh mana kita dapat menterjemahkan perkongsian ini kepada penyelesaian serantau yang boleh diperluas dan berkesan bagi memperkukuh sistem kesihatan kita daripada ancaman masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN-AS yang pertama, bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-17 dan Mesyuarat Berkaitan di sini.

Dzulkefly berkata mesyuarat itu turut membimbing pembangunan Pelan Kerja Kerjasama Kesihatan ASEAN-AS 2027-2030 yang menggantikan pelan sedia ada, dengan menyelaraskan tindakan kerjasama dengan Agenda Kesihatan Strategik ASEAN (ASHA) 2026-2030.

Selain itu, beliau berkata mesyuarat berkenaan turut mengiktiraf pencapaian utama di bawah Pelan Kerja 2022-2025 dalam bidang pengukuhan keupayaan makmal, pembangunan tenaga kerja serta pencegahan dan kawalan jangkitan.

“Melalui Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN-AS yang pertama, kita telah memperkukuh komitmen untuk mengutamakan kesatuan ASEAN, memperluas impak serantau serta melindungi keselamatan kesihatan dalam kalangan penduduk kita,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan pembukaannya, Dzulkefly berkata perkongsian berkenaan menghimpunkan kepakaran teknikal, rangkaian makmal dan keupayaan kesihatan awam bagi memperkukuh daya tahan serantau.

Beliau berkata matlamat peringkat menteri adalah untuk menjadikan daya tahan serantau berteraskan kesaksamaan, melindungi golongan rentan serta memastikan keselamatan kesihatan jangka panjang rakyat.

“Ketika Malaysia memikul tanggungjawab sebagai pengerusi bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN-AS yang bersejarah ini, kita melaksanakannya dengan pemahaman mendalam bahawa sempadan yang memisahkan negara-negara kita sama sekali tidak dapat dilihat oleh ancaman kesihatan awam.

“Fokus strategik kita bagi Perbincangan Meja Bulat mengenai Centering ASEAN, Multiplying Impact: A Multilateral Blueprint for Sustainable Health Systems and Security secara langsung menyasarkan titik pertemuan kritikal antara ancaman kesihatan yang muncul, perubahan demografi, kesan iklim serta perubahan teknologi yang pesat,” katanya.

-- BERNAMA