Pelajar Malaysia Peroleh Perspektif Baharu Tentang Seni, Budaya China

15/09/2026 07:01 PM

Daripada Siti Fauziah Hasan

NANNING (China), 15 Sept (Bernama) -- Peluang mempelajari seni tarian di China memberikan perspektif baharu dalam kalangan pelajar Malaysia mengenai kepelbagaian warisan budaya negara berkenaan, di samping meningkatkan pemahaman mereka tentang seni tradisional yang dipelihara dan dikembangkan kepada generasi muda.   

Peserta terlibat berpeluang menyertai pelbagai aktiviti seni dan kebudayaan khususnya mempelajari tarian berkenaan menerusi program pertukaran pelajar di Guangxi Arts University di sini.

Pelajar tahun pertama Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Vivi Hafira Shafikh Ahmad, 20, berkata program seumpama itu membolehkannya merasai sendiri pengalaman mempelajari tarian klasik Cina di negara asal. 

“Latihan di sini amat menekankan aspek disiplin, teknik dan pergerakan yang tepat manakala setiap tarian mempunyai kisah dan makna budayanya yang tersendiri.

“Saya juga mempelajari mengenai ekspresi wajah yang amat penting dalam seni tarian Cina kerana ia membantu menyampaikan emosi dan menghidupkan jalan cerita yang diketengahkan menerusi tarian itu,” katanya ditemui Bernama di Muzium Muzik Etnik Guangxi di sini hari ini.

Vivi Hafira berkata Malaysia juga boleh mencontohi China dalam usaha memelihara dan memartabatkan seni tradisional menerusi pendekatan yang mampu menarik minat generasi muda.

 “Seni tarian juga mampu menjadi ‘jambatan’ antara Malaysia dan China dengan membolehkan masyarakat memahami tradisi serta nilai budaya antara satu sama lain tanpa dibatasi oleh perbezaan bahasa,” katanya.

Pelajar tahun dua insitusi pengajian sama, Chan Ying Xin, 21, pula berkata program berkenaan memberikan pendedahan yang sangat bernilai khususnya dalam mempelajari seni tarian.

“Kita boleh lihat perbezaan dalam bidang seni tari, termasuk kaedah pengajaran dan pembelajaran yang diterapkan di sini. Bagi saya, ini pengalaman yang sangat baik dan banyak perkara baharu dapat dipelajari,” katanya.

Chan berkata pengalaman sedemikian juga membolehkan pelajar Malaysia mendalami seni tarian dari perspektif lebih luas.

Vivi Hafira dan Chan antara 14 penuntut Malaysia menyertai program pertukaran pelajar selama sebulan itu, yang bermatlamat memperkenalkan tarian tradisional Malaysia di samping mempelajari keunikan seni tarian Cina.

Pengarah Pusat Pendidikan dan Pertukaran Antarabangsa Guangxi Arts University Zhao Ke berkata program itu bertujuan menggalakkan perkongsian ilmu dan pembelajaran bersama-sama antara pelajar China dan negara anggota ASEAN menerusi pertukaran seni dan budaya. 

Beliau berkata pelajar yang menyertai program itu adalah wakil terbaik dari negara ASEAN masing-masing dan kehadiran mereka di universiti itu memberi peluang kepada China untuk mempelajari muzik serta seni budaya Asia Tenggara.

“Sepanjang tempoh di sini, para pelajar ASEAN juga dapat mempelajari penghasilan karya seni dan meningkatkan pemahaman mereka mengenai seni dan budaya negara ini. Apabila kembali ke negara masing-masing, kami berharap mereka menjadi ‘duta’ dalam memperkukuh kerjasama dan pertukaran seni antara China-ASEAN,” katanya.

 Selain Malaysia, program itu turut disertai pelajar dari Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand serta Vietnam.

-- BERNAMA