CAFTA 3.0 Wahana Utama Komuniti Berkongsi Nasib China-ASEAN

Kredit: CMG
18/09/2026 02:36 PM

NANNING, 18 Sept (Bernama-CMG) -- Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) merupakan wahana utama dalam pembinaan komuniti berkongsi nasib antara China dengan ASEAN, kata Naib Perdana Menteri China Ding Xuexiang.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri dan menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-23 sempena Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan China-ASEAN yang membuka tirai di sini pada Khamis.

Ding, yang juga Ahli Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, berkata selepas Protokol Penaiktarafan Perjanjian CAFTA versi 3.0 berkuat kuasa dan dilaksanakan, ia akan menyuntik tenaga penggerak baharu secara berterusan ke dalam pembangunan ekonomi serantau.

"Mengenai usaha mendorong pembinaan CAFTA ke tahap yang lebih tinggi, saya mengemukakan empat cadangan. Pertama, meningkatkan tahap keterbukaan serantau secara menyeluruh dan kedua, meningkatkan kualiti dan tahap kerjasama perdagangan serta pelaburan.

“Ketiga, memperdalam dan memperluas kerjasama dalam bidang baharu. Keempat, menjadikan ketersambungan dan kesalinghubungan lebih mudah dan cekap," katanya.

Ding berkata Presiden China Xi Jinping ketika menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Ulang Tahun ke-30 Hubungan Dialog China-ASEAN pada November 2021 pernah mencadangkan supaya pembinaan CAFTA versi 3.0 dimulakan seawal mungkin sebagai hala tuju bagi usaha meningkatkan CAFTA ke tahap lebih tinggi.

-- BERNAMA-CMG