ASEAN Benar Negara Anggota Guna Pakai ATIGA Dipertingkat Lebih Awal
MANILA, 20 Sept (Bernama-PNA) -- Mana-mana negara anggota ASEAN kini boleh melaksanakan secara sukarela Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dipertingkat sebelum ia berkuat kuasa pada Jun 2027, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Perkara itu susulan kerajaan Filipina, Brunei, Singapura, Kemboja, Laos, Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Myanmar, iaitu 10 negara penandatangan perjanjian berkenaan, mengeluarkan deklarasi pada Sabtu yang membenarkan pelaksanaan sementara Protokol Kedua untuk Meminda ATIGA.
ASEAN berkata deklarasi itu selaras dengan usaha negara anggota untuk memudahkan pelaksanaan awal perjanjian perdagangan berkenaan dalam kalangan negara yang bersedia berbuat demikian.
“Negara anggota boleh, secara sukarela dan timbal balas, melaksanakan Protokol Kedua secara sementara sesama mereka sementara menunggu ia berkuat kuasa pada 1 Jun 2027,” menurut deklarasi itu.
Bagaimanapun, pelaksanaan sementara itu hanya terpakai antara negara yang telah memaklumkan kepada Setiausaha Agung ASEAN, bermula pada tarikh yang dinyatakan dalam pemberitahuan masing-masing sehingga ia tamat pada 1 Jun 2027, iaitu tarikh Protokol Kedua berkuat kuasa secara rasmi.
Deklarasi itu diterima pakai di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-58 dan Mesyuarat Berkaitan yang kini dipengerusikan Filipina di Pasay City.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Malaysia pada 2025, Filipina menandatangani Protokol Kedua untuk Meminda ATIGA, yang dijangka menambah baik kemudahan perdagangan, penyelesaian pertikaian dan ketelusan di rantau ini.
Bekas Pembantu Khas Presiden bagi Pelaburan dan Hal Ehwal Ekonomi yang kini Setiausaha Kewangan Frederick Go berkata pedagang yang diperakui dijangka mendapat manfaat daripada proses pelepasan kargo yang lebih pantas di seluruh ASEAN menerusi pengiktirafan bersama Authorised Economic Operators (AEO).
Di bawah perjanjian yang dipertingkat itu, perniagaan juga akan lebih mudah mematuhi keperluan pentadbiran berkaitan pengisytiharan sendiri asal barangan menerusi pelaksanaan Sijil Asal Elektronik serta penerimaan dokumentasi digital.
-- BERNAMA-PNA
