China Mahu Perkukuh Hubungan Dengan Malaysia Menerusi Kerjasama BRI - Guo

Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun (Kredit: Kementerian Luar China)
23/09/2026 02:47 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- China berhasrat untuk terus bekerjasama dengan Malaysia bagi melanjutkan strategi pembangunan selain menggalakkan kerjasama berkualiti tinggi di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), kata jurucakap Kementerian Luar negara itu, Guo Jiakun.

Beliau berkata China juga berharap untuk mengekalkan komunikasi serta penyelarasan dengan Malaysia membabitkan isu-isu antarabangsa dan serantau selain berusaha mencapai lebih banyak hasil dalam usaha mewujudkan komuniti strategik China-Malaysia yang bertaraf tinggi serta berkongsi masa depan bersama.

“China dan Malaysia adalah jiran, sahabat dan sekutu yang baik dan dihubungkan oleh lautan.

“Hubungan diplomatik yang terjalin sejak lebih 50 tahun lepas menyaksikan hubungan dua hala ini berjaya mengekalkan momentum pertumbuhan yang baik dengan kemajuan kerjasama yang memberangsangkan dalam segenap bidang,” kata beliau dalam satu kenyataan dipaparkan di laman sesawang Kementerian Luar China.

Guo berkata pada masa sama, China dan Malaysia secara bersama sedang mewujudkan komuniti strategik bertaraf tinggi dengan perkongsian masa depan bersama.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di acara WorldSkills dan Ekspo Perdagangan Digital Global di China sebagai mencerminkan hubungan akrab dan mesra kedua-dua negara selain kerjasama yang kukuh dalam bidang-bidang berkaitan.

Menyentuh kerjasama China-ASEAN, Guo berkata acara Ekspo China-ASEAN ke-23 baru-baru ini telah berkembang daripada “Dekad Emas” kepada “Dekad Berlian” yang seiringan dengan peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN 3.0 (CAFTA 3.0).

“Buat julung kalinya, ekspo itu menyediakan kawasan khusus bagi memenuhi keperluan negara-negara ASEAN serta mengeluarkan senarai permintaan negara anggota ASEAN bagi membolehkan padanan tepat antara keperluan ASEAN dengan apa yang boleh disediakan oleh China,” katanya.

Ekspo itu juga, kata Guo, mengetengahkan satu ruang pameran khas mengenai Terusan Pinglu yang telah dibuka secara rasmi pada minggu lepas.

Beliau berkata pembukaan terusan itu dapat mengurangkan lagi jarak penghantaran maritim antara barat daya China dengan negara-negara ASEAN, sekali gus membuka laluan baharu bagi perdagangan dua hala.

“China bersedia untuk bekerjasama dengan negara-negara ASEAN bagi pelaksanaan CAFTA 3.0 dan membangunkan komuniti China-ASEAN yang lebih akrab dan dengan masa depan yang dikongsi bersama,” kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, tiba di Shanghai pada Selasa bagi lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou.

Kemuncak lawatan Perdana Menteri kali ini adalah mesyuarat peringkat tinggi dengan Perdana Menteri China Li Qiang di Hangzhou, ibu kota wilayah Zhejiang pada Khamis.

Agenda lain Perdana Menteri adalah menghadiri WorldSkills Conference 2026 di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) dan dijadualkan untuk menyampaikan ucaptama pada sesi pleno persidangan itu pada hari ini.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah US$113.82 bilion (RM456.68 bilion) bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.

-- BERNAMA