Malaysia, Turkiye Sedia Muktamadkan Pelan Tindakan ASEAN Menjelang Pertengahan 2027
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Malaysia selaku Negara Penyelaras ASEAN bagi Turkiye bersedia bekerjasama rapat dengan Ankara untuk memuktamadkan Pelan Tindakan ASEAN-Turkiye menjelang pertengahan tahun depan, kata Duta Besar Malaysia ke Turkiye Adlan Mohd Shaffieq.
Peningkatan status Turkiye sebagai Rakan Dialog ke-12 ASEAN dijangka menyediakan kerangka bagi memperluas kerjasama antara Ankara dan blok Asia Tenggara itu, dengan Malaysia memainkan peranan penting sebagai penyelaras dalam proses berkenaan.
“Malaysia, selaku Negara Penyelaras ASEAN bagi Turkiye, bersedia bekerjasama rapat dengan negara terbabit dalam memuktamadkan Pelan Tindakan menjelang pertengahan tahun depan,” kata Adlan dalam ucapan alu-aluannya pada majlis sambutan Hari Malaysia di Türkiye pada Jumaat.
Beliau menyifatkan hubungan kedua-dua negara sebagai “berakar umbi dalam sejarah, kepercayaan, persefahaman budaya dan pandangan bersama terhadap dunia”, sambil menyatakan hubungan dua hala terus diperkukuh menerusi pertukaran lawatan peringkat tinggi serta kerjasama yang semakin berkembang dalam sektor strategik.
Dalam satu kenyataan, Kedutaan Malaysia di Ankara memaklumkan kedua-dua negara berhasrat memperluas kerjasama dalam bidang semikonduktor, industri halal, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), kewangan Islam, tenaga boleh diperbaharui dan infrastruktur, manakala kerjasama pertahanan terus berkembang.
Dari segi ekonomi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Türkiye Recep Tayyip Erdoğan pada Januari bersetuju meningkatkan nilai perdagangan dua hala daripada US$5.6 bilion tahun lepas kepada US$10 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.
Kedutaan itu turut menyifatkan pendidikan sebagai satu lagi tonggak penting hubungan kedua-dua negara, dengan kedua-dua pihak berusaha memperluas kerjasama akademik dan pertukaran pelajar.
Hubungan pelancongan juga semakin berkembang, dengan Malaysia menjangkakan kira-kira 60,000 pelancong Türkiye tahun ini, manakala lebih 100,000 rakyat Malaysia berkunjung ke negara itu setiap tahun.
Majlis itu yang dihadiri Menteri Pertahanan Türkiye Yaşar Güler sebagai tetamu kehormat turut mengetengahkan hubungan rakyat dengan rakyat menerusi persembahan kebudayaan dari Sarawak, tarian rakyat tradisional Türkiye serta sajian Malaysia, sekali gus mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara.
-- BERNAMA
