Malaysia Hasrat Jadi Peneraju Sektor Angkasa Lepas Serantau, Perkukuh Kawal Selia - Chang
KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Malaysia berhasrat menjadi antara negara peneraju dalam sektor angkasa lepas serantau menerusi pemantapan rangka kerja perundangan dan tadbir urus yang mampan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang.
Beliau berkata pengukuhan aspek regulatori dan pembangunan bakat tempatan amat kritikal bagi mengimbangi pertumbuhan pesat inovasi komersial dengan faktor keselamatan serta kelestarian ruang angkasa.
“Kerajaan memainkan peranan sebagai pengawal selia, pada masa sama kita ingin melihat perkembangan pembangunan teknologi dalam sektor ini. Seperti teknologi lain, kita perlu mengimbangi antara inovasi dan keselamatan.
“Oleh itu, pengawalseliaan menjadi amat penting, bukan sahaja untuk negara kita tetapi juga sebagai rakan serantau, supaya semua aktiviti berkaitan angkasa ini sejajar dengan amalan terbaik serta peraturan antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar The 4th ASEAN space policy expert exchange, di sini hari ini.
Mengulas aspirasi negara sebagai pusat kecemerlangan polisi dan perundangan angkasa lepas, Chang berkata kepakaran itu penting untuk dibina memandangkan sektor berkenaan kini menerima permintaan yang semakin tinggi.
“Walaupun ini sektor yang agak baharu, Malaysia sebenarnya sudah lama menceburi bidang angkasa lepas. Kita berharap dapat bekerjasama dengan semua pihak di rantau ini, selain berhasrat untuk menjadi antara negara peneraju dalam sektor angkasa di ASEAN,” katanya.
Bagi memperkasakan program angkasa negara, beliau berkata kerajaan melaksanakan strategi dua serangkai yang merangkumi pembangunan aplikasi praktikal dan pengukuhan kawal selia menerusi Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), serta Bahagian Penguat Kuasa Angkasa (BPA).
“Satu daripada inisiatif utama sudah tentu penganjuran seminar sebegini. Pada masa sama, kita juga sedang membangunkan pelbagai aplikasi angkasa menggunakan teknologi sedia ada untuk membantu golongan nelayan, petani, serta pengurusan bantuan bencana,” katanya.
Beliau berkata perancangan merancakkan aktiviti pelancaran angkasa juga, mampu menjana nilai ekonomi baharu dan merangsang pelbagai sektor sokongan tempatan.
“Aktiviti pelancaran sebenarnya merangkumi pelbagai bidang merentasi teknologi, termasuk sektor perkhidmatan seperti insurans serta pemprosesan dan pemasangan satelit, mahupun komponen roket.
Sekiranya Malaysia berjaya membangunkan fasiliti pelancaran sendiri, ia berkeupayaan merangsang keseluruhan ekosistem angkasa negara,” katanya.
Dalam ucapannya terdahulu, Chang berkata sektor angkasa telah memasuki era baharu dengan keupayaan angkasa berfungsi sebagai pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi, kemajuan saintifik, kelestarian alam sekitar dan ketahanan nasional.
Beliau menyatakan bahawa kemajuan teknologi yang pesat serta penurunan kos akses ke angkasa telah membuka peluang yang lebih luas buat negara-negara ASEAN, untuk memanfaatkan Ekonomi Angkasa Baharu bagi meningkatkan daya saing dan kesejahteraan masyarakat.
Chang berkata bagi negara-negara yang sedang membangun dalam bidang angkasa, keupayaan pelancaran komersial menawarkan peluang untuk pembangunan satelit, namun pada masa yang sama membawa cabaran yang menuntut sistem kawal selia dan pengurusan risiko yang berkesan.
Beliau berkata semua aktiviti pelancaran mesti sentiasa selari sepenuhnya dengan mematuhi tanggungjawab antarabangsa, terutamanya di bawah Perjanjian Angkasa Lepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Ini menuntut satu keseimbangan yang teliti antara memupuk inovasi dan memastikan keselamatan, menyokong aktiviti komersial dan melindungi persekitaran angkasa, serta memelihara kepentingan negara, di samping melunaskan tanggungjawab bersama kita demi kelestarian angkasa untuk jangka panjang,” katanya.
Mengulas mengenai seminar dua hari yang diadakan bersempena dengan Minggu Angkasa Sedunia 2026: Peringkat Malaysia, Chang berkata platform tersebut membolehkan negara-negara anggota ASEAN berkongsi amalan terbaik dalam pelesenan, pengurusan risiko dan pembangunan infrastruktur pelancaran, termasuk spaceports.
Seminar tersebut dianjurkan oleh MYSA dengan kerjasama rakan-rakan strategik.
-- BERNAMA
