ASEAN Terima Pakai Deklarasi Bersama Perkukuh Kerjasama Banteras Penjenayah Buruan

30/09/2026 10:45 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Pegawai penguat kuasa undang-undang ASEAN pada Rabu menerima pakai deklarasi bersama yang mengesahkan semula komitmen politik yang teguh untuk memperkukuh kerjasama rantau dalam menangani penjenayah buruan.

Menurut Agensi Berita Vietnam (VNA), deklarasi itu menggesa kerjasama lebih erat dalam mengesan, menangkap, menerima dan memindahkan penjenayah buruan di rantau ini, khususnya mereka yang menggunakan wilayah sesebuah negara untuk melakukan kesalahan di negara lain.

Deklarasi itu mengenal pasti penjenayah buruan sebagai cabaran keselamatan bukan tradisional yang semakin meningkat serta menetapkan hala tuju strategik bagi kerjasama serantau untuk membantu membina ASEAN yang selamat, stabil dan makmur, selain menyokong pelaksanaan Visi Komuniti ASEAN 2045.

Perwakilan turut bersetuju mengenai draf Pelan Tindakan ASEAN bagi memperkukuh kerjasama dalam membanteras penjenayah buruan, merangkumi bidang keutamaan termasuk kerjasama perundangan, perkongsian maklumat, pembangunan kapasiti dan kesedaran awam, penguatkuasaan undang-undang, bantuan perundangan bersama serta ekstradisi.

Pelan itu turut menggesa kerjasama lebih kukuh dengan rakan dialog ASEAN, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan antarabangsa, selaras dengan undang-undang domestik negara anggota ASEAN serta undang-undang antarabangsa yang berkaitan.

Berucap pada sesi penutup, Timbalan Menteri Keselamatan Awam Vietnam Le Van Tuyen berkata persidangan itu meneliti situasi penjenayah buruan di peringkat nasional dan serantau, menilai kerjasama sedia ada serta mengenal pasti kesukaran dan halangan dalam usaha bersama.

Perwakilan turut membincangkan langkah strategik untuk meningkatkan kerjasama menerusi mekanisme dua hala dan pelbagai hala ASEAN.

Persidangan itu mengambil maklum bahawa jenayah rentas sempadan di rantau ini semakin kompleks dan serius, khususnya jenayah berteknologi tinggi, pemerdagangan manusia, keganasan, jenayah berkaitan dadah dan penipuan dalam talian.

Persidangan Peringkat Tinggi Penguatkuasaan Undang-Undang ASEAN mengenai Kerjasama dalam Membanteras Penjenayah Buruan itu dianjurkan oleh Kementerian Keselamatan Awam Vietnam.

-- BERNAMA