Pengerusi ASEAN: Singapura Fokus Integrasi Serantau Lebih Mendalam, Perluas Kerjasama Global
Daripada Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 7 Okt (Bernama) -- Singapura akan menumpukan pada integrasi lebih mendalam antara negara ASEAN dan perkongsian lebih luas di luar rantau ini apabila ia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 2027, kata Menteri Luar Vivian Balakrishnan.
Bercakap dalam sesi dialog pada Sidang Kemuncak Asia Milken Institute 2026 pada Rabu, beliau berkata hasil daripada keutamaan ini akan menjadi kunci pada kejayaan kepengerusian Singapura akan datang di tengah-tengah ketidaktentuan global.
"Jika ekonomi kita dalam ASEAN terus berkembang, terus lebih bersepadu, jika kekuatan kita masing-masing dalam tenaga dan teknologi benar-benar saling melengkapi, kerjasama akan memberikan impak yang besar berbanding usaha individu.”
Sesi dialog itu dikendalikan oleh ketua pegawai eksekutif Milken Institute Richard Ditizio.
Balakrishnan menyatakan bahawa Singapura juga akan berusaha untuk meluaskan perkongsian ASEAN merentasi blok itu dan melangkaui rakan dialog tradisionalnya.
Ini bermakna mewujudkan kerjasama yang lebih besar termasuk dengan Kesatuan Eropah (EU), Afrika, Amerika Selatan, Kanada serta Kepulauan Pasifik.
Menteri Luar itu juga menekankan bahawa ASEAN secara kolektif berdiri sendiri dan telah terbukti mencapai pertumbuhan yang ketara didorong oleh ledakan kecerdasan buatan (AI) dan permintaan semikonduktor.
Beliau menyebut negara seperti Vietnam, Singapura, Malaysia dan Indonesia yang mencatatkan cetakan keluaran dalam negara kasar (KDNK) menggalakkan pada separuh pertama 2026.
“Di tengah-tengah dunia yang gila, di tengah-tengah gangguan dalam pengaturan dunia, gangguan dalam perdagangan, gangguan dalam rantaian bekalan, kami mengalami pertumbuhan yang ketara.
"Kami masih mempunyai potensi pertumbuhan yang besar dalam tempoh 20 tahun akan datang, jadi kami mahu dinilai berdasarkan merit kami sendiri," katanya sambil menambah ASEAN tidak perlu dilihat sebagai arena untuk pertandingan antara kuasa besar, dan bukan sebagai satu lagi arena untuk perang proksi.
Sidang kemuncak tiga hari bertemakan 'Memimpin dengan Kepintaran' dari 7 hingga 9 Okt 2026 itu dijangka mengumpulkan 1,500 peserta daripada 50 negara termasuk peneraju industri dalam perniagaan, kewangan, kerajaan, teknologi dan hiburan.
-- BERNAMA
