Malaysia Raih 20 Pengiktirafan Anugerah Tenaga ASEAN 2026

Ketua Setiausaha PETRA Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli (tengah) bersama para penerima anugerah ASEAN Energy Awards 2026 daripada Malaysia.
08/10/2026 06:26 PM

PUTRAJAYA, 8 Okt (Bernama) -- Malaysia berjaya meraih 20 pengiktirafan pada Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) 2026 di Manila, Filipina termasuk muncul sebagai pemenang bagi lapan kategori, sekali gus mengatasi pencapaian tahun lepas.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan wakil negara turut meraih tujuh gelaran naib johan dan lima di tempat ketiga. 

"Pencapaian ini mengatasi prestasi pada tahun lepas yang menyaksikan negara meraih 16 pengiktirafan, termasuk enam kemenangan. 

"Peningkatan ini mencerminkan keupayaan dan kecemerlangan organisasi tempatan yang semakin menyerlah dalam melaksanakan inisiatif kecekapan tenaga dan tenaga boleh baharu," menurut kenyataan itu.

PETRA memaklumkan pengiktirafan tersebut diraih antaranya menerusi Anugerah Amalan Terbaik Kecekapan dan Penjimatan Tenaga ASEAN serta Anugerah Projek Tenaga Boleh Baharu ASEAN melibatkan pelbagai projek dalam bidang bangunan cekap tenaga dan bangunan hijau, biogas, solar serta hidro mikro.

Turut mendapat pengiktirafan ialah projek berteraskan teknologi baharu dan inovatif seperti hidrogen hijau, sisa kepada tenaga dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).

PETRA memaklumkan organisasi berkenaan terlebih dahulu menerima pengiktirafan di peringkat kebangsaan menerusi Anugerah Tenaga Kebangsaan 2026 (NEA) sebelum mewakili Malaysia di AEA 2026.

"NEA merupakan platform nasional yang mengiktiraf kecemerlangan organisasi dalam pelaksanaan inisiatif tenaga mampan, di samping mengenal pasti organisasi berprestasi tinggi yang berpotensi mewakili Malaysia di peringkat ASEAN," menurut kenyataan itu.

Menurut PETRA, pencapaian di peringkat serantau itu membuktikan keupayaan industri, perniagaan dan institusi tempatan dalam merealisasikan aspirasi peralihan tenaga negara menerusi penyelesaian tenaga yang praktikal dan inovatif.

"Kejayaan ini turut mencerminkan hasil kerjasama strategik antara kerajaan, industri dan rakan strategik dalam memperkukuh ekosistem tenaga negara," menurut kenyataan.

AEA diadakan bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) Ke-44 dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2025.

Kecemerlangan Malaysia di AEA 2026 turut mendukung aspirasi Dasar Tenaga Negara 2022-2040 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dalam membangunkan sistem tenaga yang terjamin, mampan dan inklusif, di samping memperkukuh daya saing ekonomi negara untuk jangka panjang.

"PETRA sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima atas pencapaian cemerlang serta kejayaan mengharumkan nama Malaysia di AEA 2026. 

"Pencapaian ini mencerminkan kemajuan sektor tenaga negara dan komitmen Malaysia dalam memacu pembangunan tenaga yang terjamin, berdaya tahan dan mampan demi kesejahteraan negara serta rantau ASEAN," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA