Timor-Leste Papan Loncatan Ke Pasaran Indonesia, Utara Australia - Duta Malaysia

Datuk Amarjit Singh
16/09/2025 03:26 PM

Oleh V.Sankara

DILI (TIMOR-LESTE), 16 Sept (Bernama) -- Kedudukan Timor-Leste sebagai "papan loncatan" ke pasaran di Indonesia dan utara Australia menjadikannya destinasi menarik bagi pelabur, institusi latihan dan organisasi media negara, kata Duta Malaysia ke Timor-Leste Datuk Amarjit Singh.

Beliau berkata peluang pelaburan sudahpun terbuka dengan kerajaan mengutamakan lebuh raya, jalan raya dan kemudahan petrokimia di pesisir pantai bahagian selatan negara itu.

"Pelabur Malaysia boleh bermula sekarang dengan mengenal pasti nilai yang mereka boleh tambah kepada rancangan pembangunan Timor-Leste," katanya pada program The Nation: Diplomatic Dispatch Bernama TV, yang dihoskan Gerard Ratnam di Kedutaan Besar Malaysia, di sini, hari ini.

Amarjit berkata institusi latihan perkhidmatan awam Malaysia dan pemain sektor swasta juga boleh menyokong pembaharuan sektor awam dan latihan bahasa Inggeris, yang sangat diperlukan di negara itu.

Mengenai perdagangan, beliau berkata produk Malaysia boleh didapati secara meluas di Dili, ibu kota Timor-Leste.

"Perdagangan dua hala bernilai RM85 juta tahun lepas, berbanding RM100 juta tahun sebelumnya dengan Malaysia terutamanya mengeksport barangan.

“Dengan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan datang, saya menjangkakan momentum perdagangan dua hala akan menjadi lebih kukuh," katanya.

Beliau berkata lawatan dua hari Anwar ke Timor-Leste dijangka memberi rangsangan besar kepada hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

"Selama lebih dua dekad, tiada lawatan peringkat tinggi kecuali tahun lepas apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi datang melawat. Lawatan ini menunjukkan sokongan padu Malaysia terhadap Timor-Leste," katanya. 

Amarjit berkata kehadiran Anwar juga penting selaras dengan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini.

"Kita sedang menggerak dan merangka strategi proses keanggotaan Timor-Leste, dan kita sedang mencatatkan kemajuan ke arah matlamat itu," katanya. Timor-Leste memohon untuk menyertai ASEAN pada 2011.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, para pemimpin bersetuju untuk menerima negara itu sebagai anggota ke-11 blok tersebut menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober 2025.

Malaysia menyokong Timor-Leste melalui pelbagai program pembinaan kapasiti dan merupakan negara ASEAN pertama yang membuka pejabat perhubungan di Dili pada tahun 2001 dan disusuli pembukaan kedutaan pada 19 Mei 2002.

Sehingga Mei 2025, seramai 1,005 pegawai Timor telah dilatih di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) manakala seramai sembilan pelajar Timor juga telah menerima biasiswa MTCP untuk pengajian pasca siswazah di Malaysia sejak 2003.

Sementara itu Amarjit turut menyarankan pertubuhan berita nasional Malaysia (Bernama) dan agensi berita Timor-Leste, Tatoli, untuk menjalin kerjasama menerusi pertukaran kakitangan dan latihan.

"Menempatkan pewarta di kedua-dua negara dan membawa wartawan berpengalaman untuk memberi latihan di tempat kerja adalah salah satu cara yang paling pantas,” katanya.

Delegasi Bernama sedang dalam misi lapan hari ke Timor-Leste, diketuai pemangku timbalan ketua pengarang (perkhidmatan berita) Mohd Shukri Ishak memandangkan agensi itu adalah media rasmi dan penyelaras Pusat Media Antarabangsa bagi liputan Sidang Kemuncak ASEAN.

-- BERNAMA