ASEAN Kekal Rakan Dagang Hasil Pertanian Terbesar China Lapan Tahun Berturut-turut

Kredit: China Media Group (CMG)
17/09/2025 02:44 PM

BEIJING, 17 Sept (Bernama-CMG) -- China dan ASEAN kekal sebagai rakan dagang terbesar antara satu sama lain selama lima tahun berturut-turut.

Selain itu, ASEAN juga mempertahankan kedudukan sebagai rakan dagang hasil pertanian terbesar bagi China selama lapan tahun berturut-turut.

Menurut data terkini yang dikeluarkan Jabatan Am Kastam China (GAC) pada Selasa, jumlah dagangan antara China dan ASEAN meningkat daripada RMB870 bilion (RM512 bilion)semasa Ekspo China-ASEAN pertama pada 2004 kepada hampir RMB7 trilion (RM4.1 trilion) pada 2024.

Angka ini meningkat tujuh kali ganda dalam tempoh 21 tahun.

Dalam pada itu, kerjasama pertanian yang semakin erat turut menyumbang kepada perdagangan hasil pertanian yang saling melengkapi antara kedua-dua pihak.

Bagi tempoh lapan bulan pertama 2025, jumlah import dan eksport hasil pertanian China ke ASEAN mencecah RMB290.6 bilion (RM171.2 bilion), meningkat 9.7 peratus dari tahun ke tahun.

Angka berkenaan mewakili 20.1 peratus daripada jumlah keseluruhan import dan eksport hasil pertanian di China.

Jurucakap GAC, Lyu Daliang berkata selaras dengan selesainya rundingan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN 3.0, kedua-dua pihak akan terus memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang di samping mengukuhkan penyelarasan rantaian bekalan dan pengeluaran serantau.

-- BERNAMA-CMG