Solarvest, Brookfield Meterai Perjanjian Projek Tenaga Boleh Baharu 1.5 Gigawatt

22/09/2025 05:31 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Solarvest Holdings Bhd menandatangani perjanjian rangka kerja pelaburan bersama dengan Brookfield CTF Asia Holdings Pte Ltd (BF) untuk membangunkan, membina dan mengoperasi projek solar berskala utiliti dan penstoran tenaga bateri 1.5 gigawatt (GW) di Malaysia.

Solarvest berkata ia akan menyumbang kepakaran tempatan dan rekod pencapaiannya lebih daripada 2.3 GW dalam projek fotovoltaik (PV) solar, manakala Brookfield akan membawa akses kepada modal berskala besar, hubungan kukuh dengan pelanggan korporat dan keupayaan operasinya yang terbukti.

Syarikat tenaga bersih itu berkata Brookfield memiliki dan mengendalikan salah satu portfolio tenaga boleh baharu dan aset peralihan terbesar serta paling pelbagai di dunia, dengan lebih daripada 270 GW yang sedang beroperasi dan dalam pembangunan.

“Malaysia dipilih kerana kedudukannya sebagai pasaran tenaga boleh baharu yang kukuh dan menarik di Asia Tenggara, disokong oleh asas permintaan yang teguh dan rangka kerja dasar yang menggalakkan.

“Kerjasama dengan Solarvest merupakan pelaburan pertama Brookfield di Malaysia melalui Dana Peralihan Pemangkin (CTF) untuk mempercepatkan usaha penyahkarbonan di pasaran pesat membangun,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest Datuk Davis Chong berkata kerjasama dengan syarikat pelaburan global yang berpangkalan di Kanada itu merupakan satu peristiwa penting ketika syarikat mempercepatkan peralihan ke arah masa depan rendah karbon.

“Melalui penggabungan kepakaran dan inovasi kami dengan rangkaian global dan kekuatan kewangan rakan kongsi kami, kami berada pada kedudukan yang unik untuk menyediakan penyelesaian tenaga boleh baharu yang berimpak tinggi bagi memacu agenda penyahkarbonan Malaysia selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Selain Malaysia, kerjasama ini membolehkan kami berkembang di peringkat serantau, memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap tenaga mampan, mewujudkan nilai yang berkekalan dengan mempercepatkan penggunaan tenaga bersih, mengukuhkan keselamatan tenaga dan menyokong hala tuju rantau ini ke arah karbon sifar bersih,” katanya.

Ketua Tenaga Boleh Baharu dan Peralihan Brookfield bagi Asia Pasifik Daniel Cheng berkata Malaysia sedang muncul sebagai peneraju tenaga bersih serantau, didorong oleh sasaran negara yang bercita-cita tinggi dan permintaan yang semakin meningkat daripada utiliti dan syarikat korporat, khususnya dalam pusat data dan pembuatan semikonduktor.

“Brookfield komited untuk melaburkan modal yang besar di Malaysia, di mana asas pasaran yang kukuh sejajar dengan keupayaan kami untuk menyampaikan penyelesaian tenaga dan penyahkarbonan kepada syarikat korporat besar, hiperskala dan pelanggan utama lain di peringkat global,” kata Cheng.

-- BERNAMA