Mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan Ekonomi Tetapkan Agenda Perkukuh Daya Tahan
Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Kanan Ekonomi (Prep-SEOM) selesai dijalankan dengan beberapa agenda ditetapkan untuk dibincangkan oleh para menteri daripada 10 negara anggota ASEAN.
Agenda ditetapkan bagi memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ketahanan ekonomi serantau serta mengguna pakai strategi yang berpandangan ke hadapan.
Mesyuarat itu yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Mastura Ahmad Mustafa serta para pegawai kanan turut membincangkan 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED).
Mastura juga menyatakan keyakinan iaitu Malaysia mampu melaksanakan 15 daripada 18 PED yang dijangka dicapai pada Oktober sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
“Prep-SEOM turut memberi tumpuan kepada 10 agenda utama termasuk status pelaksanaan PED yang menjadi komitmen Malaysia sepanjang tahun ini,” katanya ketika ditemui Bernama di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung di sini hari ini.
Mesyuarat berkenaan turut meneliti Tonggak Ekonomi ASEAN bagi 2025 selain memuktamadkan perkara dalam agenda untuk AEM.
Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF) juga bersidang lebih awal hari ini dengan menekankan usaha negara-negara anggota bagi memperkukuh daya tahan serta menangani cabaran serantau yang lebih luas melangkaui ketegangan perdagangan.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata para menteri ekonomi ASEAN bersetuju iaitu peranan AGTF perlu melangkaui isu ASEAN-Amerika Syarikat dengan memperluas tumpuannya bagi menangani pelbagai keutamaan geopolitik serta geoekonomi yang lebih meluas.
Beliau berkata laporan serta penemuan AGTF akan dibentangkan pada mesyuarat AEM untuk semakan dan sebagai makluman kepada para menteri ekonomi ASEAN esok.
Tengku Zafrul turut menekankan keperluan untuk mengintegrasikan pertimbangan ekonomi dan politik dalam merangka strategi jangka panjang ASEAN.
“Keputusan dasar, rangka kerja tadbir urus dan kerjasama serantau secara kolektif membentuk perdagangan, pelaburan serta ekosistem ekonomi keseluruhan sekali gus menekankan kepentingan strategi yang diselaraskan, proaktif dan berpandangan ke hadapan di seluruh ASEAN,” katanya.
Turut hadir pada mesyuarat AGTF ialah Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia, Dyah Roro Esti Widya Putri dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Liew Chin Tong.
ASEAN terdiri daripada 10 negara anggota iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Tengku Zafrul akan mempengerusikan Mesyuarat AEM ke-57 esok yang akan dihadiri para menteri ekonomi ASEAN bersama Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn.
Mesyuarat Majlis Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) ke-39 dan mesyuarat Majlis Kawasan Pelaburan ASEAN (AIA) ke-28 juga akan diadakan esok.
AEM ke-57 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung dari 22 hingga 26 September di bawah Kepengerusian Malaysia bagi ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kelestarian” menampilkan 20 mesyuarat dan program sampingan termasuk pertemuan bersama rakan dialog ASEAN serta rakan dialog sektor.
-- BERNAMA