ASEAN Bina Ekosistem Perdagangan Terbuka, Sedia Hadapi Masa Depan -- Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- ASEAN sedang membentuk ekosistem perdagangan dan pelaburan yang terbuka, tahan lasak dan bersedia menghadapi masa depan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN berasa bangga untuk memimpin usaha yang menukar perbincangan kepada tindakan.
“ASEAN tidak menunggu peluang sebaliknya kita membinanya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas sesi libat urus Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) dengan rakan dialog dari China, Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).
Menteri-menteri ekonomi daripada rakan dialog yang hadir termasuk Timbalan Menteri Perdagangan China, Yan Dong; Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun (METI), Muto Yoji; Menteri Perdagangan Korea Selatan, Yeo Han-Koo dan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer.
Tengku Zafrul berkata menteri-menteri ekonomi ASEAN bersetuju secara prinsip untuk mengukuhkan hubungan ekonomi bagi menggalakkan perdagangan dan pelaburan antara ASEAN dan rakan dialognya.
Antara Penyampaian Ekonomi Utama bagi Tonggak Ekonomi ASEAN di bawah Kepengerusian Malaysia tahun ini adalah pemeteraian Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 (ACFTA 3.0) di Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN pada Oktober 2025.
ACFTA 3.0 mewakili komitmen kedua-dua pihak terhadap rangka kerja perdagangan yang dipertingkatkan dengan berasaskan peraturan yang sedia dihadapi pada masa hadapan.
Perbincangan dengan Korea Selatan tertumpu kepada rancangan naik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Korea (AKFTA) dengan penekanan khusus kepada bidang-bidang yang kritikal dalam membentuk masa depan kerjasama ekonomi ASEAN-Korea.
“Ini termasuk ekonomi digital, mineral penting, daya tahan rantaian bekalan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kelestarian dan ekonomi hijau yang kesemuanya mencerminkan keutamaan bersama kita dalam mendepani landskap perdagangan global yang sentiasa berkembang,” katanya.
Semasa Konsultasi AEM-AS, mesyuarat membincangkan semakan Rangka Kerja Perdagangan & Pelaburan 2024-2025 (TIFA) terutamanya dalam bidang-bidang seperti ekonomi digital, pembangunan PMKS, kemudahan perdagangan dan harta intelek serta menyokong Pelan Kerja TIFA 2025-2026 untuk memajukan bidang-bidang ini.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata dalam Konsultasi AEM-Jepun, mesyuarat tertumpu kepada kemajuan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif ASEAN-Jepun (AJCEP) yang membincangkan isu-isu utama seperti daya tahan rantaian bekalan, ekonomi hijau dan kelestarian, ekonomi digital serta membina ASEAN yang terangkum.
Konsultasi ASEAN + 3 (China, Jepun, Korea Selatan) membincangkan antara lain keperluan untuk mempertingkatkan penggunaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), ekonomi digital, pembangunan kapasiti PMKS serta inisiatif penyelidikan bersama.
-- BERNAMA