ASEAN Tingkat Kerjasama Perkukuh Pertumbuhan Ditengah-Tengah Ketidaktentuan Global
Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) komited untuk terus meningkatkan kerjasama bagi mengukuhkan daya tahan serantau di tengah-tengah peningkatan perlindungan perdagangan, halangan bukan tarif dan rantaian bekalan yang rapuh ketika ini.
Ini termasuk menggiatkan penglibatan dengan rakan dialog ke arah perdagangan bebas dan memudahkan aliran pelaburan untuk meningkatkan kedudukan kumpulan sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan utama.
Selepas tiga hari perbincangan dan perundingan dengan pelbagai rakan dialog, ASEAN mencapai kata sepakat untuk memajukan integrasi ekonomi dan komited mencapai sembilan Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) yang berada di bawah tanggungjawab AEM.
Ini ditekankan menerusi kenyataan bersama 50 perkara yang dikeluarkan selepas AEM ke-57, yang dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, dengan negara anggota mengetengahkan keperluan kritikal dan mendesak untuk mengukuhkan sistem perdagangan pelbagai hala.
Dalam kenyataan akhbar kemudiannya, Tengku Zafrul berkata, melalui integrasi lebih mendalam dan perkongsian strategik, ASEAN sedang membentuk ekosistem perdagangan dan pelaburan yang terbuka, berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan.
Bagi mencapai matlamat ini, ekonomi perkumpulan bersetuju untuk melakukan pembaharuan yang pragmatik, dinamik dan inklusif, terutamanya dalam menghadapi kerumitan dan ketidaktentuan tadbir urus perdagangan global susulan peningkatan perlindungan perdagangan yang tercetus akibat daripada tarif yang dikenakan Amerika Syarikat.
“Pada tahun kami menjadi pengerusi ASEAN, Malaysia berbangga meneraju usaha yang mengubah dialog menjadi satu tindakan,” katanya.
Prasyarat penting bagi ASEAN untuk meningkatkan ekonominya di persada global adalah dengan memanfaatkan kepusatannya dalam perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi membentuk orde ekonomi sedang pesat membangun dan menambah baik pakatan perdagangan bebas dengan anggota.
Gabungan China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand, dengan 10 ekonomi ASEAN, bakal menjadikan RCEP kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata "RCEP perlu diperbaharui dengan keazaman politik dan tidak boleh terus kekal hanya sebagai dokumen undang-undang semata-mata".
Bagi tujuan ini, beliau mengumumkan Malaysia, sebagai pengerusi ASEAN, akan mengadakan sidang kemuncak pemimpin RCEP yang akan diadakan bersama-sama Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober depan.
Bagi memuktamadkan agenda sidang kemuncak itu, Mesyuarat Menteri-Menteri RCEP akan diadakan esok. Program ini juga merangkumi sesi perundingan dengan negara-negara ASEAN+3 yang terdiri daripada China, Jepun dan Korea Selatan serta United Kingdom dan Kesatuan Eropah (EU).
Tumpuan utama selepas tiga hari mesyuarat AEM dan rundingan dengan rakan dialog adalah komitmen yang diberikan oleh Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (AS) Jamieson Greer yang menunjukkan penglibatan kukuh Washington dengan ekonomi Asia Tenggara.
Beliau turut memuji usaha berterusan ASEAN untuk memperluas akses pasaran, menghapuskan halangan bukan tarif dan memperkukuh kerjasama keselamatan sebagai pencapaian yang akan memperteguh hubungan perdagangan dan pelaburan antara ASEAN-AS.
Perkembangan ini berlaku selepas sebulan AS mengenakan tarif terhadap kesemua 10 ekonomi serantau.
Dalam perundingan ASEAN-ROK ke-22, Menteri Perdagangan Korea Selatan Yeo Han-Koo mengesahkan Seoul sedang memuktamadkan proses naik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Korea (AKFTA) yang akan diumumkan pada sidang kemuncak pemimpin ASEAN bulan depan.
Perundingan ASEAN+3, yang melibatkan China, Jepun dan Korea Selatan, menekankan kerjasama dalam rantaian bekalan semikonduktor, perdagangan digital dan ekonomi hijau di samping mengukuhkan semula sokongan kewangan serantau melalui Chiang Mai Initiative Multilateralisation (CMIM).
Perdagangan antara ASEAN dan rakan kongsi +3 mencapai US$1.2 trilion pada 2024, menyumbang 31.7 peratus daripada jumlah perdagangan ASEAN manakala aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dari ketiga-tiga negara ini berjumlah US$44.4 bilion atau hampir 20 peratus daripada jumlah FDI ke rantau ini.
Sejajar dengan perundingan itu, pemimpin perniagaan serantau menekankan keperluan agar ASEAN mempercepat reformasi struktur bagi merangsang pasaran modal swasta dan menguatkuasakan peraturan terhadap halangan bukan tarif.
Mereka turut memaklumkan bahawa mekanisme sedia ada seperti portal ASEAN Assist telah menjadi kurang berkesan berikutan perniagaan masih enggan mengemukakan aduan, menunjukkan keperluan kepada kapasiti penguatkuasaan yang lebih kukuh dalam blok ini.
ASEAN turut menekankan mengenai kemajuan dalam menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), memajukan Protokol Naik Taraf FTA ASEAN-China 3.0 serta memperkenalkan garis panduan pelaburan mampan -- semuanya bertujuan untuk memperkukuh blok ini daripada kejutan luaran.
Dengan berakhirnya Mesyuarat AEM ke-57, ia jelas menunjukkan ASEAN memaparkan hasratnya untuk memperteguh daya tahan di samping beralih kepada pertumbuhan yang dipacu pengetahuan dan nilai tambah dalam ekonomi global yang semakin tidak menentu.
-- BERNAMA