Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India Capai Kemajuan Ketara

25/09/2025 09:28 AM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Usaha ASEAN dan India untuk menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) mencapai kemajuan ketara selepas sembilan pusingan rundingan dijalankan, kata Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes.

Katanya, laluan ke arah penyelesaian rundingan itu menjelang akhir 2025 masih terbuka.

"Pendekatan berperingkat boleh membuka laluan kepada kemajuan iaitu dengan menyampaikan pakej 'hasil awal' yang memberi tumpuan kepada pendigitalan kastam, penetapan awal keputusan dan keterhubungan melalui sistem tetingkap tunggal.

"Sementara garis tarif yang paling sensitif dibiarkan kepada laluan pelaksanaan yang lebih panjang," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata rangka kerja peraturan asal yang diolah semula membenarkan pensijilan kendiri untuk peniaga yang dipercayai selain mengaudit berdasarkan risiko, ia juga akan mengurangkan konflik di sempadan.

Bagaimanapun, seperti rundingan perdagangan lain, jelasnya, AITIGA mempunyai cabarannya sendiri terutamanya dalam penurunan tarif utama lebih-lebih lagi dalam aspek teknikal perdagangan.

"Peraturan asal terus menjadi titik permasalahan iaitu India menegaskan penguatkuasaan yang lebih ketat bagi mengelakkan penghantaran semula dari negara ketiga manakala pengeksport ASEAN mahukan kepastian selain prosedur yang dipermudahkan.

"Tanpa penyelarasan di sini, setiap penghantaran berisiko mengulangi pertikaian lama,” katanya.

Innes berkata halangan bukan tarif merupakan satu lagi cabaran susulan banyak yang terkandung dalam peraturan domestik seperti pelesenan, piawaian dan rejim ujian yang tidak boleh diselesaikan hanya dengan satu klausa perjanjian perdagangan bebas (FTA).

Beliau berkata kemajuan memerlukan kerjasama di antara pengawal selia dengan pelan kerja yang mempunyai jangka masa tertentu.

Jelasnya, sektor sensitif seperti automotif, pertanian dan keluli menambah beban politik dengan kumpulan industri dari kedua-dua pihak melobi untuk melindungi pengeluar tempatan sekali gus melemahkan kesediaan untuk membuat konsesi perdagangan.

Sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Bersama AITIGA, katanya, Malaysia boleh memainkan peranan sebagai pemangkin dengan mengetatkan disiplin proses selain mengadakan meja bulat rantaian bekalan bagi menyampaikan penyelesaian pragmatik terus ke dalam rundingan.

"Akhirnya, kejayaan akan bergantung kepada bagaimana rundingan diubah dari cita-cita besar kepada penyelesaian operasi yang benar-benar dirasai oleh perniagaan di sempadan," kata Innes.

Pada Julai 2025, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B N Reddy memberitahu Bernama semakan berterusan terhadap AITIGA yang bermula 2023 dijangka selesai menjelang akhir tahun ini selain dijangka terus meningkatkan perdagangan dan pelaburan serantau terutamanya dalam ekonomi digital.

Katanya, satu daripada objektif utama perjanjian berkenaan iaitu menjadikan perdagangan lebih berkesan, mesra pengguna dan lebih mudah untuk perniagaan.

India merupakan rakan dagang utama ASEAN dengan jumlah perdagangan meningkat kepada US$106.83 bilion pada 2024 daripada US$100.72 bilion pada 2023.

Bagaimanapun, pelaburan langsung asing dari India ke ASEAN menurun sebanyak 34.97 peratus kepada US$3.31 bilion pada 2024 daripada US$5.09 bilion pada 2023.

-- BERNAMA