Tarif Lebih Tinggi Ke Atas Negara ASEAN Dijangka Jika Perjanjian Perdagangan Tidak Memuaskan Washington
Oleh Mikhail Raj Abdullah dan Maizatul Jamny Muhammad Rosli
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) tidak menolak kemungkinan untuk mengenakan satu lagi pusingan tarif ke atas negara-negara ASEAN sekiranya rundingan perdagangan gagal membawa hasil yang memuaskan kepada Washington.
Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer berkata negara itu kini menumpukan kepada perundingan perjanjian perdagangan dengan ekonomi ASEAN.
“Pada masa ini, kami sedang dalam proses merundingkan perjanjian dan mewujudkan hubungan ekonomi yang stabil antara AS dan negara-negara ASEAN,” katanya.
“Apa yang kami tumpukan pada masa ini adalah rundingan, bukan tarif,” katanya ketika ditanya sama ada AS akan mengenakan tarif tambahan ke atas negara-negara ASEAN.
“Bagaimanapun, sekiranya kami tidak dapat mencapai persetujuan, selepas itu tarif kekal sebagai penyelesaian yang munasabah,” kata Greer kepada pemberita di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-57 (AEM) dan Mesyuarat Berkaitan di sini.
Mengenai sama ada eksport semikonduktor dari negara-negara ASEAN “selamat” daripada tarif AS, beliau berkata rantaian bekalan semikonduktor global adalah kompleks.
“Ia juga penting kepada keselamatan negara bagi AS dan negara-negara ASEAN. Oleh itu, kami mahu berhati-hati dan teliti dalam menangani situasi perdagangan antarabangsa.
“Kami perlu memastikan rantaian bekalan untuk AS tetapi negara-negara ASEAN kekal sebagai sumber penting untuk semikonduktor,” kata Greer.
Pada bulan lepas, AS mengenakan tarif sebanyak 19 peratus ke atas Malaysia, Kemboja, Filipina, Thailand dan Indonesia.
Vietnam dikenakan kadar yang lebih tinggi iaitu 20 peratus, diikuti Brunei pada 25 peratus manakala rakan dagangan utama AS iaitu Singapura terus dikenakan tarif terendah dalam kalangan negara ASEAN iaitu 10 peratus, yang tidak berubah sejak pelaksanaan awal.
Bagaimanapun, Laos dan Myanmar menjadi negara paling terkesan apabila mencapai tarif 40 peratus.
Presiden AS Donald Trump selepas mengumumkan tarif pada bulan lepas menegaskan AS mungkin mengenakan tarif “agak besar” ke atas import semikonduktor.
Bagaimanapun setakat ini tindakan sedemikian tidak dilaksanakan.
-- BERNAMA