EU Sifatkan ASEAN Sebagai Peluang Ekonomi Terbaik - Sefcovic
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Kesatuan Eropah (EU) berpendapat ASEAN merupakan peluang ekonomi terbaik, dipacu oleh keyakinan perniagaan yang kukuh dan potensi ekonomi yang semakin berkembang, kata Pesuruhjaya Eropah bagi Perdagangan dan Keselamatan Ekonomi, Hubungan Antara Institusi dan Ketelusan Maros Sefcovic.
Dalam ucapan pembukaannya pada Perundingan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM)-Pesuruhjaya Perdagangan EU Ke-21 di sini hari ini, beliau berkata pandangan itu mengesahkan komitmen EU untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan ASEAN, sekali gus menekankan kepentingan strategik blok berkenaan di rantau ini.
“Jika kita melihat kaji selidik sentimen perniagaan yang dibentangkan kepada saya semalam dan petang ini, ternyata 55 responden dari Eropah melihat ASEAN sebagai rantau yang menawarkan peluang ekonomi terbaik.
“Kira-kira 71 peratus firma Eropah menjangkakan untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan di ASEAN. Mereka juga memberitahu kami perkara yang perlu kami usahakan dan saya rasa ini juga terpakai untuk kita semua,” katanya.
Sefcovic turut menekankan keperluan untuk memudahkan prosedur kastam dan menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan antara kedua-dua rantau memandangkan EU melihat ASEAN bukan sahaja sebagai rakan politik, tetapi juga sebagai destinasi ekonomi yang menarik untuk pelaburan-pelaburan baharu.
Mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA), beliau berkata walaupun EU telah memuktamadkan perjanjian dengan Singapura, Vietnam dan yang terbaharu, Indonesia, rundingan sedang giat dijalankan dengan Malaysia, Thailand dan Filipina.
“Kami percaya FTA dua hala ini boleh menjadi asas ke arah FTA antara rantau pada masa hadapan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan rundingan kami atas perkembangan, semangat yang baik dan kemajuan yang telah kita capai,” tambahnya.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata di sebalik pelbagai cabaran global, ASEAN dan EU berada pada kedudukan yang unik untuk menukar cabaran kepada peluang.
Sehubungan itu, beliau berkata dengan mengukuhkan perkongsian ini bukan sahaja bertujuan menangani gangguan semasa, tetapi juga membuka potensi bersama dalam bidang-bidang kritikal seperti transformasi digital, peralihan hijau, daya tahan rantaian bekalan dan pelaburan mampan.
“Dengan bekerja bersama-sama, ASEAN dan EU boleh memperkukuh sistem perdagangan berasaskan peraturan, menggalakkan pertumbuhan inklusif dan mampan serta menguatkan daya saing dan ketahanan rantau kita sambil menyumbang kepada kestabilan dan keyakinan yang lebih besar dalam ekonomi global,” kata Tengku Zafrul.
Sementara itu, dalam kenyataan bersama hari ini ia berkata kedua-dua pihak berazam untuk bekerjasama menghasilkan keputusan yang bermakna pada Persidangan Menteri-Menteri (MC) Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) Ke-14 yang dijadualkan berlangsung pada Mac 2026 di Cameroon.
Kenyataan itu berkata WTO telah memainkan peranan penting dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi global dan menekankan keperluan untuk usaha kolektif bagi melaksanakan pembaharuan penting, memastikan organisasi itu kekal relevan dan berkesan dalam menangani cabaran perdagangan global masa kini dan masa hadapan.
Mesyuarat itu turut menekankan bahawa berdasarkan statistik awal ASEAN, perdagangan barangan dua hala antara ASEAN dan EU mencecah US$292.8 bilion pada 2024, manakala aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dari EU ke ASEAN berjumlah US$20 bilion dalam tempoh yang sama (US$1=RM4.2).
-- BERNAMA